Umno mahu PRU15 segera kerana sedar sokongan Melayu menjunam, kata Rafizi .jelajah Pulau Pinang





Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, PH mampu menubuhkan
 kerajaan jika memperoleh sokongan 30% pengundi Melayu, selain 80%
 pengundi Cina dan India.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa Umno terdesak mengadakan pilihan raya umum kerana sedar sokongan pengundi Melayu baginya menjunam dalam tempoh Ogos hingga September sahaja.

Katanya, berlaku peralihan sokongan Melayu 9% selepas bekas perdana menteri Najib Razak dipenjarakan, selain susulan pendedahan isu kapal tempur pesisir (LCS).

Peralihan itu sebenarnya “besar”, katanya, apabila mengambil kira peralihan sokongan Melayu sebanyak 5% yang menyumbang kepada kejatuhan lima negeri ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum 2008, manakala peralihan 7% menumbangkan kerajaan persekutuan Umno-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

“Awal September, selepas Najib masuk penjara, LCS dan ‘merpati’, saya macam tak percaya apabila tengok (kaji selidik) dan (saya) tunjuk kepada Majlis Pimpinan Pusat PKR – ‘too good to true’.

“Peralihan sokongan Melayu kepada Umno menjunam 9% kepada 18% berbanding 27% pada awal Ogos. Peralihan 9% undi itu sebenarnya besar kerana ketika Umno-BN jatuh pada 2018, peralihan sokongan Melayu 7% sahaja,” katanya pada jelajah Trak Ayuh Malaysia di Pulau Pinang.

Rafizi berkata, Pakatan Harapan (PH) mampu menubuhkan kerajaan jika memperoleh sokongan 30% pengundi Melayu, selain 80% pengundi Cina dan India.

Katanya, kaji selidik dan wawancara yang dilakukannya setiap bulan sepanjang enam tahun lalu, membabitkan 2,500 pengundi yang dipilih secara rawak, bertujuan menilai sentimen pengundi.

Pada masa yang sama, beliau menafikan tuduhan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa PH takut berdepan pilihan raya segera, menyifatkannya sebagai tidak benar sama sekali.

“Sepatutnya Umno yang perlu takut buat pilihan raya kerana ramai pengundi Melayu yang akan terjejas akibat banjir,” katanya.

Jika pilihan raya umum ke-15 diadakan pada November, PH diyakini mampu menjadi blok paling besar yang akan “dijemput” membentuk kerajaan, katanya.

Pada 26 Ogos lalu, Zahid berkata, beliau tidak akan mengikut rentak pembangkang melengahkan PRU15 dan memberi peluang kepada mereka untuk menyerang Umno.

“Kita tidak akan ikut rentak pembangkang yang mahu melengahkan PRU15 agar mereka dapat menyusun strategi, mempelbagaikan propaganda, menambah serangan politik terhadap Umno.

“Kita dalam arus politik perdana sangat faham gelagat mereka. Jangan bagi ruang seinci pun kepada pembangkang dan sekutu mereka untuk memporak-perandakan Umno,” katanya di Facebook.

Pada 30 Sept, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, pihaknya telah mencapai kata sepakat bahawa Parlimen hendaklah dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

No comments: