Tiada maklum balas daripada 1MDB selepas dapat pinjaman AS$3 bilion, kata saksi

 




Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak Najib, 68, berdepan empat
pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa pihak pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak pernah memberi sebarang maklum balas, setelah mendapat pinjaman US$3 bilion yang diterima melalui Surat Sokongan (LOS) yang dikeluarkan kerajaan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, berkata pelbagai usaha dibuat oleh pihaknya untuk mendapatkan maklumat terkini daripada 1MDB, tentang bagaimana wang AS$3 bililion itu digunakan, tetapi tidak pernah dijawab oleh pihak syarikat, lapor Bernama.

“Saya cuba berhubung dengan pihak pengurusan 1MDB dengan cara komunikasi melalui surat dan panggilan telefon. Pihak saya juga berhubung dengan wakil 1MDB ketika itu, Zahid Taib untuk mereka memberikan maklum balas dan mengemukakan laporan kepada Kementerian Kewangan, tetapi tiada balasan.

“Saya juga mengesahkan tidak pernah melihat dokumen perjanjian usaha sama antara 1MDB dan Aabar Investment BVI Co, seperti dalam permohonan LOS mereka kepada kerajaan untuk mendapatkan pinjaman US$3 bilion itu,” katanya pada pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi bekas perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-26 itu bersetuju dengan cadangan Wan Aizuddin bahawa tindakan 1MDB yang tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai penggunaan US$3 bilion, menunjukkan kelemahan pihak pengurusan syarikat.

Wan Aizuddin: Setuju dengan saya, Datuk tidak boleh mengaitkan kesalahan pengurusan 1MDB kepada Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB? (Kesemua jawatan tersebut dipegang oleh Najib ketika itu).

Siti Zauyah: Seingat saya ada satu surat daripada Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB), yang menyatakan pihak pengurusan tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat mengenai penggunaan wang US$3 bilion, kerana mereka perlu merujuk kepada Ahli Lembaga Pengarah 1MDB dahulu.

Wan Aizuddin kemudian merujuk Siti Zauyah kepada pernyataan saksinya, yang menyatakan Malaysia kini terpaksa menanggung bayaran balik hutang 1MDB ekoran LOS yang dikeluarkan kerajaan dan ditandatangani oleh Najib selaku Menteri Kewangan pada 2013.

Siti Zauyah mengesahkan beliau tidak mempunyai pengetahuan peribadi mengenai perkara itu, tetapi membuat kenyataan berdasarkan ‘hearsay’ daripada pegawai yang bertanggungjawab menguruskan proses LOS itu.

Ditanya lanjut oleh peguam sekiranya saksi pernah melihat sebarang dokumen menunjukkan 1MDB gagal membuat pembayaran semula menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung hutang itu, Siti Zauyah menjawab “saya tidak ingat..tentunya mesti ada bukti sebab itu saya nyatakan (perkataan itu) dalam pernyataan saksi saya”.

Wan Aizuddin: Menariknya anda membuat kenyataan ini “LOS yang ditandatangani oleh Najib selaku Menteri Kewangan”. Adakah anda mengatakan kerajaan perlu menanggung hutang kerana Najib tandatangan LOS, jadi itu salah dia?

Siti Zauyah: tiada komen.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim datuk collin lawrence sequerah bersambung.

 

No comments: