NAMPAK GAYANYA ZAHID TERPERANGKAP DENGAN HUJAH PENDAKWARAYA

 

Zahid buat kesalahan sebagai ‘penjawat awam’ terima wang UKSB, kata pendakwa




Tuduhan-tuduhan utama terhadap Ahmad Zahid Hamidi dirangka bawah Akta SPRM, manakala tuduhan alternatif bawah Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid Hamidi atas kesalahan memperoleh “barang berharga” tanpa pertimbangan dalam kapasitinya sebagai penjawat awam, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata, Zahid yang ketika itu seorang menteri, memperoleh wang tunai daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), kontraktor yang dilantik kementeriannya.

Beliau berkata, saksi pendakwaan Sheeba Kunmiho memberi keterangan bahawa Zahid dilantik sebagai menteri dalam negeri pada Mei 2013 dan pelantikan itu kemudiannya diwartakan.

“Ini bermakna dia seorang penjawat awam seperti yang ditakrifkan dalam Seksyen 21(i) Kanun Keseksaan.

“Dia diamanahkan untuk menjalankan tugas awam dan dibayar untuk itu,” katanya dalam hujahan.

Raja Rozela, yang mengetuai pasukan pendakwaan, berkata Zahid juga tahu bahawa UKSB sudah mempunyai urusan perniagaan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum pelantikannya.

“Kami telah menunjukkan perkara ini melalui keterangan dokumentar dan keterangan lisan oleh saksi,” katanya.

Beliau berkata, pengarah UKSB ketika itu, Harry Lee dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani berjumpa dengan Zahid antara 2013 dan 2018.

“Ini membentuk hubungan perniagaan kerana mereka bertemu Zahid di kediaman rasminya untuk melanjutkan kontrak (UKSB) dengan kementerian,” katanya sambil menambah, Zahid juga memberikan layanan keutamaan yang tidak berasas kepada syarikat itu.

Raja Rozela berkata, sebagai pertukaran, Zahid memperoleh sesuatu yang berharga dalam bentuk wang tunai, fakta yang tidak dipertikaikannya.

Beliau berkata, walaupun Zahid tidak meminta bayaran dalam jumlah tertentu, Lee dan Wan Quoris memutuskan untuk membayarnya SGD200,000, SGD300,000 dan SGD520,0000 setiap bulan.

Menjawab pertikaian bahawa kes pendakwaan gagal kerana bayaran tunai tidak datang daripada UKSB tetapi daripada sumber lain, beliau berkata: “Sumber wang bukan pertimbangan material kerana ia bukan elemen yang perlu dibuktikan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.”

Raja Rozela membuat kesimpulan bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan keterangan yang boleh dipercayai bagi setiap unsur penting kesalahan itu, dan Zahid sepatutnya dipanggil membela diri.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berdepan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB sebagai menteri dalam negeri ketika itu bagi tujuan menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali pusat sehenti di China dan sistem visa asing (VLN). serta mengekalkan kontrak pembekalan sistem bersepadu VLN.

Tuduhan-tuduhan utama dirangka bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala tuduhan alternatif bawah Kanun Keseksaan.

Zahid juga berdepan tujuh lagi tuduhan bawah Kanun Keseksaan, iaitu memperoleh SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan USD15,000 daripada syarikat yang sama berhubung tugas rasminya.

Kesemua kesalahan itu dikatakan dilakukan di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya, dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan hakim Yazid Mustafa diteruskan.


No comments: