Apa kena mengenanya ucapan Jerome Powell di Jackson Hole dengan kadar pinjaman di negara kita?


NIK HASYUDEEN


Setiap musim luruh, para ahli ekonomi, jurubank pusat, ahli akademik dan pembuat polisi dari seluruh dunia akan berhimpun di Jackson Hole di Wyoming bagi menghadiri Simposium Ekonomi yang mana Federal Reserve Bank of Kansas City menjadi tuan rumahnya.

 

Mengapa mereka seperti melakukan “umrah tahunan” ke sini? Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika akan memberikan ucapan dasar beliau yang akan memberikan gambaran akan arahtuju dasar bank demikian. Oleh kerana Amerika masih lagi merupakan pusat pasaran kewangan dan modal dunia, tindakan yang diambil oleh Rizab Persekutuan Amerika akan memberi kesan global termasuk harga barangan yang kita makan di rumah-rumah kita.

 

Berikut adalah ringkasan ucapan Jerome Powell yang tak sampai 10 minit pun. Di sana tak ada kata-kata aluan yang panjang walaupun di hadapan beliau ada ramai orang-orang ternama. Saya suka pendekatan yang lebih mementingkan isi dari kulit berbandingkan budaya di tempat lain yang mana ucapan boleh jadi berjam-jam tanpa sebarang isi yang bermanfaat. Ramai pula orang dipaksa hadir bagi menampakkan pengucap yang tak bermanfaat itu nampak popular.

 

Menurunkan inflasi kepada kadar 2% seperti yang disasarkan oleh Rizab Persekutuan Amerika adalah fokus utama mereka.

 

Kestabilan harga adalah tanggungjawab Rizab Persekutuan yang merupakan asas kepada ekonomi Amerika. Tanpa kestabilan harga, banyak keputusan-keputusan strategik tidak boleh dilakukan atau pun tersasar. Beban inflasi akan ditanggung dengan lebih berat oleh orang-orang yang paling tidak mampu untuk menanggungnya.

 

Menurunkan inflasi memerlukan masa yang panjang bagi mempastikan permintaan dan bekalan berada di tahap keseimbangan yang lebih baik. Ini akan memperlahankan perkembangan ekonomi dan memberi kesan ke atas pasaran buruh. Namun, kegagalan untuk mewujudkan kestabilan harga akan memberi kesan yang lebih buruk.

 

Ekonomi Amerika masih kukuh walaupun berkembang dengan lebih perlahan berbanding dengan 2021. Pasaran buruh juga kukuh walaupun banyak majikan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerja. Inflasi telah melebihi 2% dan kesannya dirasai oleh seluruh ekonomi.

 

Sasaran Jawatankuasa Pasaran Terbuka Kebangsaan (FOMC) terkini menetapkan kadar dana kebangsaan disasarkan kepada 2.25% sehingga 2.50% dan kenaikan seterusnya dijangka di dalam mesyuarat seterusnya. Jangkaan purata kadar dana ahli-ahli FOMC untuk tahun 2023 ialah bawah sedikit dari 4.00%.

 

Keputusan berkenaan Polisi Monetari berdasarkan dinamik inflasi yang diperhatikan semasa kekelamkabutan harga masa lampau dan juga semasa kestabilan harga suku abad yang terakhir. Ada 3 pengajaran penting yang digunapakai:

 

1.     Bank Pusat boleh dan seharusnya mengambil tanggungjawab untuk mempastikan kadar inflasi yang rendah dan stabil.

 

2.     Jangkaan awam berkenaan kadar inflasi masa depan juga memainkan peranan di dalam mempengaruhi inflasi. Ini pula akan mempengaruhi keputusan ekonomi perniagaan dan isi rumah. Ini seteruskan akan mempengaruhi kadar kenaikan harga.

 

3. Usaha menurunkan kadar inflasi kena dilakukan sehingga ianya selesai. Sekiranya ianya diberhentikan separuh jalan, tempoh inflasi yang tinggi akan menjadi lebih panjang.

Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh Powell, tentunya Rizab Amerika akan menaikkan lagi kadar faedah di sana sehingga inflasi benar-benar berada di bawah 2% berbanding dengan dalam 8.5% sekarang. Ini akan mengakibatkan kadar pinjaman/pembiayaan menjadi lebih tinggi manakala pasaran kewangan dan pasaran buruh akan menjadi lebih lembab bagi menurunkan permintaan ke atas barangan dan perkhidmatan.

Jadi, kita dan warga dunia yang lain kena bersedia untuk menghadapi suasana ekonomi global yang lebih sejuk walaupun kadar pinjaman akan tetap tinggi untuk kesekian waktu. Tentukan kadar tukaran wang Dollar akan mengukuh berbanding dengan matawang lain seperti Ringgit.

Oleh kerana Rizab Persekutuan Amerika adalah satu entiti bebas, mereka tak peduli pun akan pilihanraya separuh penggal di Amerika pada bulan November ini. Inilah sebabnya ahli-ahli politik Amerika akan berhati-hati di dalam proses pengesahan Pengerusi Rizab Kebangsaan di Dewan Senet. Lepas dilantik, apa orang politik kata pun tak akan memberi kesan kepada keputusan Rizab Kebangsaan. Ni lah baru meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan orang politik yang hanya memetingkan polisi-polisi yang popular walaupun negara akan masuk gaung. Peduli apa mereka.

Kita semua kena menjadi warganegara yang ada banyak maklumat dan membuat keputusan berdasarkan ilmu. Hanya dengan cara ini kita boleh menjadi khalifah yang berkesan di muka bumi Allah ini. Syarahan dan seruan memang senang tetapi tidak akan mengubah keadaan. Hanya tindakan yang berasaskan analisa yang mantap dan berani menghadapi cemuhan pelbagai pihak yang ada pelbagai kepentingan yang akan mengubah keadaan.

Tak mengapa membuat keputusan yang tak popular asalakan ianya bermanfaat secara meluas dan berpanjangan. Ini memerlukan keberanian dan kesanggupan menghadapi risiko dan keputusan kita.

#takapajujur

 

No comments: