PH perlu 80 kerusi Parlimen di Semenanjung bentuk kerajaan, kata Chin Tong



Timbalan Setiausaha Agung DAP Liew Chin Tong bercakap dengan penyokong di Kota Kinabalu bulan lalu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 80 daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung pada pilihan raya umum akan datang untuk membentuk kerajaan, kata pakar strategi DAP, Liew Chin Tong.

Liew, yang juga timbalan setiausaha agung parti berkata, PH mesti berusaha sedaya upaya untuk mencetuskan lonjakan minat pengundi dan memastikan peratusan keluar mengundi tinggi.

“Memenangi 80 dan ke atas di Semenanjung bermakna PH akan mempunyai peluang yang baik untuk membentuk kerajaan.

“Tetapi yang paling penting, PH akan dapat menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen dan dengan itu, mempunyai hak untuk bersuara dalam sebarang usaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam catatan di Facebook.

Majoriti dua pertiga diperlukan untuk meminda perlembagaan. Dewan Rakyat kini mempunyai 222 Ahli Parlimen.

Liew, bekas timbalan menteri pertahanan, berkata tiada satu pun daripada tiga gabungan itu berkemungkinan memenangi majoriti selesa kerana pengundi berpecah antara PH, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Paling teruk pun, PH masih boleh memenangi sekurang-kurangnya 60 kerusi, katanya.

Sejak pilihan raya umum 2013, Liew berkata, PH meletakkan sasaran untuk memenangi 100 daripada 165 kerusi. Pada 2008 dan 2013, PH hanya menang 80 kerusi.

Pada 2018, PH berjaya menggulingkan BN daripada tampuk pemerintahan selepas memenangi 98 kerusi di Semenanjung.

Semalam, FMT memetik Wong Chin Huat dari Universiti Sunway sebagai berkata, PH perlu mempersiapkan penyokongnya untuk menerima hakikat bahawa harapan terbaiknya adalah untuk menjadi rakan kongsi kanan dalam kerajaan yang turut merangkumi parti lain.

Katanya, ini akan membantu meredakan jangkaan bahawa PH akan dapat membentuk kerajaan sendiri dengan majoriti selesa pada pilihan raya umum akan datang, yang menurutnya “diimpikan” sesetengah pihak.

No comments: