Kes SRC Paling Mudah Buktikan Kesalahan Najib - Tommy Thomas
KERTAS siasatan kes SRC International antara lain telah
mempermudahkan usaha untuk mendakwa dan membuktikan kesalahan membabitkan bekas
perdana menteri Najib Razak, kata Tommy Thomas.
Bercakap kepada Malaysiakini dalam wawancara eksklusif, bekas
peguam negara itu turut berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
ketika itu sudahpun mengusahakan kes SRC International dan membuat kemajuan,
membantu Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan kes tersebut.
“Bayangkan DPP (timbalan pendakwa raya) dan saya sendiri sebagai
peguam melihat dokumen yang diberikan oleh orang lain. Dalam kes ini, ia adalah
siasatan SPRM, berbanding agensi lain.
“Dan SPRM berkata fail yang mereka sedang siasat pada masa itu
adalah SRC (International). Mereka sahkan khabar angin yang tersebar di KL
(Kuala Lumpur), iaitu sekitar masa salah seorang pendahulu saya, Abdul Gani
Patail, yang dipecat pada Julai 2016 yang SPRM agak maju dalam menyiasat SRC,
jadi ia membantu mempermudahkan kerja.
“Itu adalah faktor utama - fail itu datang kepada saya.
Ternyata, SRC adalah yang paling mudah untuk dibuktikan, kerana jika anda
londehkan semuanya, ia hanya kecurian RM42 juta. Jadi, mudah untuk buktikan,”
katanya seperti dipetik portal tersebut.
Dua minggu lepas, Najib dimasukkan ke Penjara Kajang selepas
Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuannya dan mengekalkan hukuman ke atasnya
dalam kes SRC International.
Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah tertinggi memerintahkan
ahli Parlimen Pekan itu memulakan hukuman penjara 12 tahun serta-merta.
Najib juga perlu membayar denda RM210 juta dan jika gagal bayar,
perlu menjalani hukuman penjara lima tahun lagi.
Bekas peguam negara itu berkata terdapat terlalu banyak dokumen
dalam semua kes Najib serta kes isterinya Rosmah Mansor selain kes yang
dikaitkan dengan ahli politik lain.
Antaranya, Thomas menjelaskan bagaimana “penyangak” dalam SRC
International berjaya mendapat pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang
Amanah Persaraan (KWAP).
“Mari kita ambil wang KWAP. Seingat anda, SRC adalah sebuah
syarikat dengan modal berbayar RM2. Penyangak perlu pinjam, dan oleh itu KWAP,
dana pencen, disasarkan untuk beri pinjaman RM4 bilion,” katanya.
“Malah KWAP betul-betul cakap, berdasarkan risiko kredit, ia
tidak boleh pinjamkan walaupun RM10 kepada syarikat iniitu kerana ia tidak ada
modal berbayar dan tiada rekod prestasi.
“Itulah apabila KWAP diyakinkan (untuk beri pinjaman) dengan
jaminan kerajaan, dan apabila jaminan kerajaan RM4 bilion datang, ia jadi bebas
risiko. Inilah yang berlaku, RM4 bilion itu dipinjamkan oleh KWAP, bertentangan
dengan jaminan kerajaan.
“Dokumen kontemporari bermaksud minit kabinet, surat yang
dihantar antara SRC dan KWAP, dan minit KWAP, resolusi oleh SRC (kerana SRC
adalah sebuah syarikat) dan slip pembayaran bank.
“Semua perkara ini akan disediakan oleh jurubank dan pegawai
yang bekerja dalam kerajaan dan syarikat yang menjalankan tugas mereka dalam
perjalanan biasa perniagaan mereka,” tambahnya.
Apabila ditanya sama ada semua dokumen dibuat untuk menyokong
perjanjian itu, Thomas menjawab “Ya”.
“Mahkamah sentiasa menitik berat dokumen kontemporari kerana
mahkamah menganggap bahawa, apabila orang sediaknnya, mereka, pada peringkat
itu, benar.
“Mereka mungkin ada niat yang tidak jujur kemudian, tetapi
biasanya selamat untuk menganggap apabila seseorang mencipta dokumen, ia adalah
benar dan boleh dipercayai. Sukar untuk menentang dokumen tersebut jika
seseorang telah menandatanganinya,” katanya.
Telah dibangkitkan semasa rayuan SRC di Mahkamah Persekutuan
yang kelulusan pinjaman RM4 bilion itu diluluskan secara dua peringkat hanya
melalui sepucuk surat daripada Najib yang juga menteri kewangan ketika itu ~
The Malaysian Insight