Skandal kapal perang: Kerajaan jangan bersikap bagai melepaskan batuk di tangga

 

Kenyataan Media Bersama mantan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan mantan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong pada 6 September 2022.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan kerajaan wajib melengkapkan proses siasatan terhadap skandal kapal tempur pesisir (LCS) dan mencari jalan penyelesaian bagi projek sakit ini.

Perhatian rakyat tertumpu kepada isu ini selepas laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) diumumkan pada 4 Ogos 2022 kerana ia membabitkan persoalan keselamatan negara.

Pada 10 Ogos 2022, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menyahklasifikasikan Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berkenaan LCS. Dokumen penuh disiarkan secara umum pada 17 Ogos 2022. Penemuan siasatan menunjukkan beberapa red flags yang tidak dikesan, dibetulkan atau dihentikan oleh pihak berkuasa ketika projek LCS diluluskan.

JKSTUPKK yang diketuai Tan Sri Ambrin Buang ditubuhkan selepas Jemaah Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam mesyuarat pada 30 Mei 2018 mencapai persetujuan untuk melakukan siasatan terhadap tadbir urus, perolehan dan kewangan di pelbagai kementerian. Ini merupakan inisiatif Mohamad Sabu selaku mantan Menteri Pertahanan dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Berikut adalah rumusan JKSTUPKK berhubung dengan  kelemahan perancangan projek tersebut:

1. Kaedah perolehan secara vendor-driven

Sejak mula lagi, projek pembinaan LCS merupakan projek vendor-driven yang diberikan secara rundingan terus kepada Boustead Naval Shipyard (BNS). Menteri Pertahanan pada ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima cadangan BNS untuk menukarkan reka bentuk dari sistem SIGMA kepada sistem GOWIND tanpa sebarang perundingan terdahulu dengan pihak Tentera Laut Diraja Malaysia selaku pengguna (end user). Keputusan ini bertentangan dengan pendirian TLDM yang memilih reka bentuk SIGMA.

Segala keputusan berhubung dengan projek LCS diambil tanpa mengambil kira pandangan end user dan sebaliknya ditentukan oleh kontraktor yang hanya berniat untuk mengaut keuntungan. 

2. Tiada usaha wajar (due diligence) dilakukan terhadap syarikat BNS

Kementerian Kewangan telah meluluskan wang pendahuluan sejumlah RM 1.365 billion yang bersamaan dengan 14.95% daripada nilai kontrak RM 9.128 bilion kepada BNS. Selain itu, Kementerian Kewangan juga telah memberi pengecualian bagi jaminan bank sebanyak RM 836.9 juta bagi wang pendahuluan yang diluluskan.

Kedua-dua ini adalah di luar kebiasaan daripada Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2007 dan PK4 – Pentadbiran Kontrak Perolehan Kerajaan Secara Am yang menetapkan had maksimum wang pendahuluan yang dibenarkan adalah 25% dari kos projek atau RM 10 juta mengikut mana yang rendah.

Pemberian projek kepada sebuah syarikat dengan kekuatan kewangan yang terhad bermakna projek ini ditakdirkan untuk gagal dan perlukan bailout daripada pihak kerajaan.

3. Prestasi kewangan BNS yang lemah

Analisis yang dibuat oleh JKSTUPKK bagi tempoh tahun 2014 hingga 2018 mendapati syarikat ini mengalami kerugian tiga daripada lima tahun tersebut. Kerugian terkumpul BNS didapati meningkat jumlah RM 462 juta pada tahun 2018 sehingga menjejaskan ekuiti syarikat kepada negatif RM 332 juta (saham berbayar RM 130 juta).

Sehingga 31 Mei 2019, kedudukan keseluruhan pemiutang (creditors) BNS berjumlah RM 801.11 juta dengan pemiutang (creditors) projek LCS berjumlah RM 733.55 juta.

4. Syarikat BNS dibebani pinjaman yang tinggi

Syarikat BNS tentunya akan menghadapi kesukaran dan ketidakupayaan untuk membayar faedah dan hutang sekiranya keadaan kewangan syarikat tersebut kekal lemah. Sehingga 31 Mei 2019, pinjaman BNS telah mencapai jumlah RM 956.85 juta yang terdiri daripada sebanyak RM 354.96 juta hutang jangka pendek dan RM 601.89 juta pinjaman jangka panjang.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan kerajaan perlu memberi keterangan dan penjelasan terhadap isu-isu di atas agar rakyat mendapat gambaran jelas tentang apa sebenarnya berlaku dalam skandal LCS. Kementerian Pertahanan dan kerajaan tidak boleh bersikap seperti semua masalah akan hilang sendiri tanpa tindakan lanjut daripada pihak berkuasa. – Roketkini.com

No comments: