PRN Johor: PKR guna logo sendiri, Amanah dan DAP guna logo PH

  

Fion Yap

Diterbitkan:  Jan 26, 2022

 

PKR akan menggunakan logonya sendiri dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor manakala Amanah dan DAP akan kekal dengan logo Pakatan Harapan (PH).

Keputusan itu dibuat susulan mesyuarat majlis presiden PH di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

"Berhubung dengan logo, kita bersetuju PH atau logo yang dipilih oleh parti, kita dah umum tadi kedua-dua (logo) PH untuk calon DAP dan Amanah dan PKR (guna) logo PKR," kata Pengerusi PH Anwar Ibrahim, yang juga presiden PKR, kepada wartawan selepas mesyuarat itu.

Perbezaan pendapat mengenai logo bersama berterusan sejak PRN Melaka.

ADS

Semasa PRN Melaka November lalu, PKR telah mendesak semua parti PH menggunakan logonya tetapi mengalah selepas Amanah dan DAP berkeras untuk menggunakan gabungan mereka.

PKR mengambil pendirian yang sama dalam PRN Johor akan datang dan nampaknya parti komponen PH tidak dapat memecahkan kebuntuan kali ini.

Pada PRU 2018, parti komponen PH bertanding di bawah logo PKR kerana gabungan itu belum didaftarkan secara rasmi.

Sejak pendaftaran rasmi gabungan pada tahun yang sama, komponen itu telah bertanding di bawah logo bersama PH di semenanjung Malaysia.

Rundingan kerusi selesai

Anwar mendedahkan bahawa PH juga telah menyelesaikan rundingan kerusi antara tiga komponen parti yang akan bertanding dalam PRN Johor.

Tambahnya, rundingan lanjut akan diperlukan untuk parti pembangkang bukan PH.

"PH sudah selesaikan kesemua 56 kerusi. Kemudian kita boleh berbincang dengan parti pembangkang lain," katanya.

Anwar menjawab soalan mengenai berapa banyak kerusi yang dicadangkan PH untuk diserahkan kepada Ikatan Demokratik Bersatu Malaysia (Muda) bagi memastikan undi pembangkang tidak berpecah semasa PRN Johor.

Ditanya mengenai Warisan tidak berminat untuk bekerjasama dengan PH, Anwar menegaskan bahawa pintu tetap terbuka.

"Kita beri ruang kepada mereka. Di pihak pembangkang, kita mahu pembangkang bersatu menggalakkan kerjasama," katanya.

Mengenai calon menteri besar Johor bagi PH, Anwar tidak mendedahkan apa-apa, dengan menyatakan bahawa rundingan kerusi itu baru sahaja selesai.

Dalam kenyataan bersama PH kemudian, majlis presiden mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Johor mereka kerana menyempurnakan rundingan kerusi di peringkat gabungan.

Perunding tersebut ialah; dari PKR - Syed Ibrahim Syed Noh, Jimmy Puah Wee Tze, Naim Jusri dan Akmal Nasir dari PKR; dari DAP - Liew Chin Tong, Teo Nie Ching, Sheikh Umar Bagharib Ali, Andrew Chen, Kah Eng; dari Amanah - Aminolhuda Hassan, Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat dan Abdul Hamid Jamah.

“Majlis presiden PH mengulangi pendirian bahawa ia akan terus merundingkan kerjasama dan peruntukan kerusi dalam kalangan semua parti pembangkang termasuk Muda.

"Ini akan menguatkan blok pembangkang dalam menghadapi PRN Johor," kata mereka.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Anwar, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

Mereka juga mengesahkan PKR akan menggunakan logo sendiri manakala komponen PH lain akan menggunakan logo gabungan itu.

 

No comments: