‘Jabatan Perhutanan Kelantan sengaja alih isu sebenar’, aktivis bidas isu balak bagus untuk harimau

 


Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abdul Samah hari ini didakwa sengaja mahu mengalihkan perhatian masyarakat umum terhadap isu sebenar susulan kenyataannya bahawa aktiviti ‘pembalakan bagus untuk harimau’.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, isu sebenar yang menyebabkan harimau dan hidupan liar hampir pupus ketika ini disebabkan kemusnahan habitat mereka.

Beliau mendakwa, kemusnahan tersebut akibat daripada pelaksanaan projek ladang hutan (ladang monokultur) berskala besar dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) serta pengubahan guna tanah lain dalam HSK terutama untuk kegiatan perlombongan.Kegiatan perlombongan di kawasan itu juga didapati telah dilakukan tanpa kawalan walaupun telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) dan mempunyai ‘standard and operating procedure’.

“Pelaksanaan projek ladang monokultur dan kegiatan perlombongan dalam kawasan HSK memusnahkan litupan hutan asal (hutan asli) melalui kaedah pengusahasilan (pembalakan) secara tebang habis.

“Hampir 28 peratus daripada HSK di negeri Kelantan telah dizonkan sebagai zon pembangunan ladang hutan dan peratusan tersebut tidak termasuk keluasan untuk tujuan perlombongan yang dilakukan dalam HSK.

“Kenyataan Tuan Haji Khalim bahawa negeri Kelantan mengamalkan pengurusan hutan secara mampan, mematuhi kuota Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan mematuhi pensijilan ‘Malaysian Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management’ (MC&I) dibawah Skim Pensijilan Kayu Balak (MTCS) adalah sebaliknya dan boleh dipersoal,” katanya dalam satu kenyataan.

Meor turut memaklumkan bahawa pensijilan bagi negeri Kelantan telah digantung sejak 2016 sehingga kini dan salah satu faktor digantung adalah kerana membalak melebihi kuota CTT.

Menurutnya, penggantungan pensijilan dibawah MTCS adalah salah satu petunjuk bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai dasar dan iltizam untuk mengurus dan mengusa hasil sumber hutan secara mampan.

“Saya sebagai aktivis alam sekitar berharap kerajaan negeri Kelantan dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dapat mempertimbang untuk menghenti dan tidak meluluskan lagi projek pembangunan ladang hutan serta perlombongan berskala besar dalam kawasan HSK.

“Saya juga berharap kerajaan negeri Kelantan dan pihak-pihak berkuasa berkaitan mematuhi dan mengguna pakai rancangan pemajuan terutama Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan lain-lain dasar yang berkaitan disamping menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada,” ujarnya lagi.


No comments: