PH capai konsensus pembahagian kerusi PRN Johor


 

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini telah mencapai kata sepakat dan menyelesaikan mengenai pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor



Menurut Majlis Presiden, kerusi kerusi tersebut muktamad diagih agihkan sesama komponen PH.



"Mesyuarat bersetuju memuktamadkan keputusan mengenai agihan kerusi kerusi yang akan ditandingi oleh KEADILAN, DAP dan Amanah.



"Majlis Presiden PH juga memberikan penghargaan kepada pasukan rundingan kerusi yang diwakili Syed Ibrahim Syed Noh, Jimmy Puah Wee Tse, Naim Jusri dan Akmal Nasir (KEADILAN), Liew Chin Tong, Teo Nie Ching, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Andrew Chen Kah Eng (DAP) dan Aminolhuda Hassan, Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat dan Abdul Hamid Jamah (AMANAH)," kata kenyataan tersebut.



Kenyataan Majlis Presiden juga menegaskan mengenai rundingan yang akan dilakukan dengan parti parti pembangkang lain yang berminat untuk ikut serta sebagai sekutu PH dalam PRN berkenaan.



"Majlis Presiden PH mengulangi pendirian meneruskan rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi dengan semua parti pembangkang termasuklah Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). Hal ini akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani PRN Johor yang akan datang," kata mereka.



Manakala mengenai logo, Majlis Presiden bersetuju untuk menghormati pendirian KEADILAN bahawa logo PH akan digunakan dan KEADILAN menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat untuk PRN Johor.



"Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya agar kuasa surat watikah penamaan calon Pakatan Harapan diserahkan kepada Sdr Lim Guan Eng dan Sdr Mohamad Sabu," kata kenyataan itu lagi.



Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.



No comments: