PH JANGAN TERLALU GHAIRAH UNTUK DIAJAK BEKERJASAMA DENGAN BERSATU DAN PN

 

Mendepani PRN Johor yang bakal menjelma tidak lama lagi, tiba-tiba saja timbul suara entah daripada mana yang memberi saranan untuk menyatukan PH dengan PN dan Bersatu, selain dengan semua parti pembangkang yang lain bagi mewujudkan gabungan yang benar-benar mampu untuk mengalahkan BN.

Setakat ini beberapa reaksi positif telah kedengaran dan menyambut baik saranan itu.

Suara yang sama turut mengingatkan bagaimana parti-parti pembangkang yang bersatu pada PRU 14 telah berjaya menumbangkan UMNO dan BN buat pertama kalinya pada 2018 lalu.

Lantaran itu, beberapa pihak dalam PH, lantas turut terghairah dengan memberi respon yang sama positif mengenainya.

Dalam hal ini, wajarkah PH kembali bekerjasama dengan Bersatu dan PN, terutamanya melibatkan Mahiaddin Md Yasin dan Azmin Ali yang telah melakukan khianat sehingga menumbangkan kerajaan PH pada awal tahun 2020 lalu melalui Langkah Sheraton?

Daripada satu segi, keperluan parti-parti pembangkang bergabung adalah mustahak untuk menuju kemenangan dalam PRU15 akan datang dan ia boleh dimulai di PRN Johor ini.

Tetapi, parti-parti yang wajar untuk PH bekerjasama itu hendaklah setakat melibatkan Pejuang, Muda, Warisan dan lain-lain parti dalam blok pembangkang saja.

Itu pun mestilah dengan syarat mereka dapat menerima kepimpinan PH yang sedia ada dan tidak meletakkan syarat-syarat yang mengarut untuk kepentingan diri mereka sendiri.

PH tidak harus sama sekali membenarkan dirinya bekerjasama dengan Bersatu dan PN kerana kedua-dua parti itu adalah pengkhianat kepada PH sendiri sebelum ini.

Pemimpin-pemimpin yang berada di dalam parti tersebut adalah wajah-wajah pengkhianat belaka.

Lagi pun, parti tersebut masih berada dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob bersama UMNO dan BN sekarang ini.

Keadaan mereka yang ditolak untuk bekerjasama dan ingin dijatuhkan dalam PRN Johor adalah masalah dalaman mereka yang tidak seharusnya dilibatkan PH sebagai sandaran untuk mencari kesempatan.

Tujuan mereka ingin dibawa bersama PH adalah semata-mata untuk menyelamatkan diri dan mengelakkan masa depan berakhir pada PRU15 nanti kerana trend serta kehendak pengundi ketika ini jelas memperlihatkan penolakan terhadap mereka itu.

Tetapi, setelah mereka bersama dengan PH nanti dan kemenangan diperolehi, tidak ada jaminan perlakuan khianat yang dulu tidak akan berulang kembali.

Kata pesanan selalu mengingatkan, anjing yang biasa makan tulang akan tetap mencari tulang sebagai makanannya.

Maka itu, lebih baik mereka itu dijauhi daripada didekati.

PH mesti tegas dalam hal ini, watak-watak yang khianat itu tidak harus diselamatkan masa depan mereka, sebaliknya lebih baik dibenam terus supaya politik negara lebih aman lagi jadinya selepas PRU15 nanti. – ShahbudinHusin 26/01/2022.



No comments: