Tiga kerusi penentu peluang KEADILAN di PRN Sarawak



Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meletakkan tiga daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi sebagai penanda aras pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.



Katanya, tiga kerusi itu adalah Telang Usan, Mulu dan Lambir.


"Ia bermakna menang atau tidak itu menjadi jelas dan saya lebih optimis meletakkan tiga kawasan yang dianggap mempunyai peluang cerah kepada KEADILAN.


"Tiga kawasan itu sebagai kayu pengukur. Jika tiga kawasan itu dapat kami atasi, maka KEADILAN masih ada peluang cerah untuk menang," katanya.


Saifuddin berkata, calon KEADILAN DUN Mulu, Roland Engan, adalah peguam yang sangat dikenali dalam komuniti tempatan terutama membabitkan isu tanah dan sijil kelahiran.


Katanya, calon KEADILAN Telang Usan iaitu Philip Jau Ding, adalah aktivis masyarakat yang lantang membantah pembinaan Empangan Baram hingga dibatalkan pada 2015 oleh Ketua Menteri ketika itu, Tan Sri Adenan Satem.


"Di DUN Lambir, ini adalah kali ketiga calon KEADILAN, Zulhaidah Suboh, bertanding. Dalam dua percubaannya dahulu, graf beliau meningkat dan setia menjalankan aktiviti di lapangan selama ini," katanya.

 

No comments: