Wakil keluarga Muhammad Hidayat mohon inkues siasat kematian dalam tahanan



Wakil keluarga Muhammad Hidayat Abdul Halim, Ahmad Faiz Abdul
 Halim (dua dari kanan), bersama wakil NGO Suara Rakyat Malaysia
 (Suaram) dan Gerakan Guaman Rakyat (Gegar) menghantar
 memorandum memohon prosiding inkues ke atas kematian abangnya
 ketika dalam tahanan.


PUTRAJAYA: Wakil keluarga kepada Muhammad Hidayat Abdul Halim yang meninggal dunia ketika ditahan pada 8 Okt lalu menyerahkan memorandum kepada Peguam Negara Idrus Harun bagi memohon prosiding inkues menyiasat kematian itu.

Adik kepada Muhammad Hidayat, Ahmad Faiz Abdul Halim berkata, kematian abangnya itu merupakan satu perkara yang cukup memeranjatkan, selain menimbulkan kecurigaan.

“Kami difahamkan mangsa yang ditahan di IPD Pekan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya, tidak mempunyai masalah kesihatan dan dalam keadaan kesihatan yang baik semasa ditahan.

“Ini mendatangkan tanda tanya kepada keluarga tentang apakah punca dan bagaimana kematian mangsa boleh berlaku,” katanya kepada FMT ketika ditemui di hadapan Pejabat Peguam Negara.

Ahmad Faiz bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan kes itu, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Gerakan Guaman Rakyat (Gegar), hari ini, menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Peguam Negara bagi memohon prosiding inkues itu.

Pada 1 Nov lalu, FMT melaporkan seorang buruh binaan berusia 44 tahun meninggal dunia ketika dalam tahanan di balai polis di Pekan, Pahang, 48 jam selepas ditangkap pada 8 Okt.

Menurut NGO yang mengendalikan kes itu, Suaram dan Gegar, mangsa, Muhammad Hidayat ditahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Ahmad Faiz berkata, pihaknya memberi masa sebulan kepada pihak Pejabat Peguam Negara untuk memberi maklum balas mengenai permohonannya itu.

“Kita tunggu dulu, kalau tidak ada tindakan, kita akan lakukan langkah seterusnya.

“Harap (ada) tindakan lanjut Peguam Negara ini dan ada tindakan positif untuk dapat lanjutkan prosiding inkues kematian,” katanya.

Ahmad Faiz juga memaklumkan, setakat ini sebanyak 13,000 sokongan rakyat Malaysia diterima melalui satu petisyen dibuat supaya Peguam Negara membenarkan satu prosiding inkues dijalankan bagi menyiasat kematian Muhammad Hidayat.

“Kami menggesa Pejabat Peguam Negara arah satu prosiding inkues dijalankan untuk menyiasat punca kematian Hidayat dan sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian dan salah guna kuasa semasa mengendalikan orang yang ditahan,” katanya.

No comments: