Saya terkejut Guan Eng ‘minta’ 10% keuntungan, ahli perniagaan beritahu mahkamah



Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata, beliau ‘tidak menyangka’ Lim Guan
 Eng akan membuat permintaan sedemikian.

KUALA LUMPUR: Saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau terkejut apabila bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu meminta 10% keuntungan daripada projek yang bakal dijalankan.

Pengarah Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata, Lim membuat permintaan tersebut pada Mac 2011 ketika beliau menghantar Lim pulang ke hotelnya selepas makan malam.

“Saya terkejut kerana tidak sangka ia datang daripada YB (Lim), individu yang saya anggap menentang rasuah,” katanya, sambil menambah bahawa beliau faham permintaan tersebut dimaksudkan sebagai sogokan.

Lim sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk meminta daripada Zarul 10% keuntungan daripada projek terowong dasar laut terbabit dan menerima RM3.3 juta sebagai sogokan daripada ahli perniagaan itu.

Beliau juga didakwa atas dua tuduhan dengan curang menyebabkan dua plot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada dua syarikat.

Zarul memberitahu mahkamah beliau diperkenalkan kepada Lim oleh bekas menteri Nazri Aziz di ruang “lounge” hotel di sini pada Januari 2011.

“Saya mengambil kesempatan memberitahu YB (Lim) bahawa BUCG berminat untuk menjalankan sebarang projek di Pulau Pinang.

“Beliau kelihatan berminat dengan apa yang saya beritahunya. Dari situ, kami bertukar nombor telefon,” katanya sambil menegaskan, pertemuan itu tidak dirancang.

Katanya, beberapa minggu selepas itu, beliau menghubungi Lim, yang menjemputnya dan wakil BUCG ke pejabatnya di Komtar untuk memberi taklimat.

“Beliau memberitahu saya seorang individu bernama Lim Hock Seng (bekas Exco Pulau Pinang) akan menghubungi saya dari semasa ke semasa, untuk memberikan saya butiran cadangan projek terowong dan jalan raya,” katanya.

Terdahulu, ketika Zarul berada di kandang saksi, peguam Lim, Gobind Singh Deo memberitahu mahkamah pihak pembelaan mahu pihak pendakwaan memberikan salinan keterangan ahli perniagaan itu yang direkodkan semasa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Gobind berkata, dalam keterangan Zarul yang dikemukakan di mahkamah hari ini, beliau menyebut telah direman oleh SPRM pada 2018.

“Kami mahu memeriksa balasnya mengenai keterangan SPRM itu, yang kami katakan bercanggah dengan keterangannya pada 2018,” katanya.

Pihak pembelaan membuat permohonan yang sama untuk mendapatkan keterangan Zarul pada Ogos.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, mahkamah perlu membenarkan Zarul menghabiskan bacaan keterangannya terlebih dahulu.

“Mereka boleh membuat permohonan ini sebelum pemeriksaan balas,” katanya.

Hakim Azura Alwi berkata, beliau akan mendengar permohonan pihak pembelaan sebelum Gobind memulakan pemeriksaan balasnya.

Perbicaraan akan disambung pada 24 Mac setelah Zarul memberitahu mahkamah beliau sakit perut.

No comments: