Mampukah KEADILAN lakukan kejutan dalam PRN Sarawak?

 



Oleh: Redzuan Shamsudin



ULASAN: Dibayangi prestasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, KEADILAN Sarawak perlu memberikan sesuatu yang lebih positif dalam PRN kali ini.



Mungkin mempertahankan rekod menang 3 DUN dianggap terbaik dalam cabaran sengit Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang begitu besar dananya dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang juga tidak kurang dana serta penajanya. Bagaimanapun, KEADILAN sebagai parti yang telah bertapak di Sarawak sejak tahun 2000 tidak mungkin mahu diukur prestasi dengan hanya 3 kerusi DUN.



Parti yang telah melalui cabaran dua dekad dan dikenali oleh majoriti pengundi Sarawak seharusnya menunjukkan prestasi yang lebih menggalakkan.



Wajar menang 5 kerusi



KEADILAN wajar menang sekurang kurangnya 5 kerusi berdasarkan usia parti. Tidak mengulangi prestasi PRN 2016. Dengan bertanding hanya 28 kerusi dan sumber boleh ditumpukan ke kawasan kawasan berpotensi maka seharusnya keputusan PRN kali ini adalah yang terbaik buat KEADILAN.



Namun adakah pengundi tempatan akan menyokong calon KEADILAN? Berdasarkan mood kelihatan KEADILAN boleh mendapat banyak undi di kerusi kerusi sekitar Kuching dan Miri. Di kedua dua bandar besar ini penyokong KEADILAN agak banyak. Biar pun kesukaran berkempen di kekang Prosedur Operasi Piawai (SOP) namun pengundi masih boleh mendapatkan mesej kempen melalui internet.



Golongan berpendidikan yang telah bosan dengan corak pentadbiran GPS selama 58 tahun mungkin akan melakukan perubahan, terutama isu akses internet yang tidak stabil, banjir kilat serta kemudahan asas yang gagal diperbaiki oleh parti pemerintah.



Tidak boleh diperkecilkan arus bantahan pengundi muda dan berpendidikan yang berpendapat 'sekiranya menyokong pembangkang atau kerajaan, kemajuan tetap sama'. Pendapat seperti itu boleh didengar di kawasan kawasan sub bandar. Kebanyakan generasi terdahulu telah mengundi GPS terlalu lama dan tidak mendapat pembangunan yang selayaknya. Maka bagi generasi muda seharusnya GPS 'diajar' dengan mengundi pembangkang.


Cuma ke arah mana amarah tersebut akan diterjemahkan menjadi undi, tidak dikenalpasti. Kemungkinan juga undi akan pergi kepada parti baharu PSB yang dipimpin banyak tokoh politik berpengalaman Sarawak.



Manifesto terbaik



Dari segi manifesto KEADILAN menawarkan tawaran yang logik dan lumayan. Berbekalkan jumlah RM31 bilion rizab tunai Sarawak, mungkin manifesto KEADILAN boleh meransang golongan Atas Pagar yang berpendidikan untuk mencuba kerajaan baharu dan mengharapkan janji bantuan tunai atau pembangunan tersebut akan berhasil.



Bagi kawasan pendalaman pula, KEADILAN menjanjikan pemberian tanah tanah lot dan skim pembangunan tanah Selda. Tawaran Selda menarik bagi anak muda yang telah berkeluarga tetapi tidak memiliki tanah untuk diusahakan. Cuma terdapat sedikit faktor ketidakpastian kerana skim sama tidak ditawarkan dalam manifesto DAP dan Amanah yang sepatutnya diikutsertakan, bagi memberi keyakinan sekiranya parti parti dalam Pakatan Harapan menang maka Selda boleh direalisasikan.



Terlepas daripada tawaran tawaran manifesto, suasana PRN di Sarawak mungkin tidak begitu menyebelahi KEADILAN di kawasan bukan bandar dan sub bandar. Cuma dalam beberapa hari terakhir, kelihatan protes dari golongan di atas 40an kepada GPS dengan pengakuan tidak akan keluar mengundi kerana kecewa dengan ahli ahli politik gabungan itu.



Persaingan KEADILAN, PSB



Protes seperti ini di sesetengah kawasan akan membuka persaingan di antara KEADILAN dan PSB. Sekiranya di kawasan berkenaan mempunyai banyak penyokong KEADILAN tetapi tidak cukup untuk mengalahkan GPS maka dengan boikot penyokong GPS, KEADILAN berpotensi menang.


Hal ini tidak mustahil berpandukan kebangkitan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu apabila KEADILAN mampu menang di beberapa kerusi Parlimen yang dianggap mustahil untuk dimenangi, biar pun kemudian calon calon tersebut melompat menyertai Bersatu.


Sekiranya gelombang PRU 14 boleh diulangi dalam PRN kali ini maka tidak mustahil KEADILAN akan mendapat lebih daripada 3 kerusi DUN. Dengan prestasi itu KEADILAN boleh membuat kejutan sekali lagi dalam PRU ke 15.



________________________________________________________________________________



Artikel ini disediakan berdasarkan pemerhatian pasukan Suara Keadilan yang membuat liputan di PRN sarawak