Untuk apa pilih PN, calon Ketua Menteri pun tidak ada - Halim Bachik

 



Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka, Datuk Halim Bachik berkata, rayuan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali semalam agar rakyat Melaka mengundi mereka berdasarkan rekod memimpin Kerajaan Persekutuan lebih merupakan seruan untuk pengundi berfikir sedalam-dalamnya sebelum menyokong gabungan itu.

Menurut Halim, rekod kerajaan PN sepanjang 18 bulan tidak pernah memuaskan dengan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin ketakutan setiap kali diminta menunjukkan majoriti yang beliau ada di Parlimen.

"Rekod prestasi PN bukanlah sesuatu yang diperlukan oleh Melaka kerana Perdana Menteri terdahulu tidak berani menunjukkan majoriti yang diperolehinya di Dewan Rakyat.

"Tindakan itu lantas mewujudkan ketidakstabilan politik dan menjatuhkan kerajaan yang dipimpin Bersatu. Rekod PN di peringkat persekutuan inilah yang cuba diulangi di negeri Johor.

"Melaka sama sekali tidak memerlukan ketidakstabilan politik yang diterajui PN, yang akan lebih menjejaskan kehidupan rakyat. Azmin lebih wajar menumpukan perhatian terhadap persengketaan Umno-Bersatu berbanding dengan PRU DUN Melaka," katanya.

Menurut Halim, daripada tiga gabungan parti yang bertanding, PN sehingga hari ini dan selepas undi awal dijalankan semalam pun masih tidak berani mengemukakan calon Ketua Menteri, menunjukkan gabungan itu tidak yakin untuk memenangi PRN

Hal itu, katanya, berbeza dengan PH yang sebelum PRN pun rakyat Melaka telah tahu siapa yang layak untuk diangkat sebagai Ketua Menteri.

"Pengundi awal menunaikan tanggungjawab semalam. Namun apa yang kita lihat PN masih gagal mengetengahkan calon bakal Ketua Menteri mereka. Bukankah itu sendiri sudah cukup untuk membuktikan tahap keprihatinan pakatan politik ini?

"Kami di Pakatan Harapan sepakat mengetengahkan Saudara Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri Melaka. PN yang masih gagal mengetengahkan calon Ketua Menteri kerana belum mencapai kata sepakat antara parti komponennya.

"Sedangkan menamakan Ketua Menteri dari awal adalah bukti kesiapsiagaan PH untuk berbakti kepada rakyat. Oleh itu, pangkahlah HARAPAN demi masa depan," katanya lagi.

 

No comments: