Pengundi Cina, India di kawasan majoriti Melayu penentu PRN Melaka

 



Pemerhati berkata, tanpa sokongan pengundi Melayu, realitinya PH tidak mampu kembali berkuasa di Melaka.

AYER KEROH: Menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka beberapa hari saja lagi, timbul persoalan ke arah mana pola pengundian bukan Melayu, yang mewakili sejumlah besar pemilih di negeri itu.

Mengambil kira keputusan pilihan raya sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) menikmati sokongan majoriti pengundi Cina dan India, namun kedengaran desas-desus di akar umbi, mendakwa ia bukan faktor penentu pada PRN Melaka, kali ini.

Walaupun ada kesangsian terhadap kekuatan PH, parti berkenaan terutama membabitkan DAP diramal kembali menguasai kerusi majoriti bukan Melayu disandang parti itu, namun gabungan itu mungkin berdepan penurunan sokongan di kawasan majoriti Melayu.

PRN Melaka menyaksikan 23 daripada 28 kerusi adalah kawasan majoriti Melayu, iaitu kawasan di mana PH berdepan kesukaran mendapatkan sokongan kukuh pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), walaupun ketika itu parti berkenaan berada di puncak populariti, ditunjangi bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Selepas tiga tahun, Mahathir, selaku “orang kuat” mempertahankan agenda Melayu, tidak lagi berada dalam gabungan PH. Kini, tanggungjawab meraih sokongan di kerusi majoriti Melayu digalas PKR dan Amanah, di mana kedua-dua parti itu menerima kritikan susulan kesanggupan menerima dua bekas wakil rakyat Umno berpaling tadah, Idris Haron dan Nor Azman Hassan.

Mengambil kira jangkaan keluar mengundi rendah susulan wabak, pengundi yang kelesuan melayan kerenah politik, termasuk kebimbangan terhadap PAS yang melarang kedai nombor ekor dan kawalan penjualan arak di Kedah, berkemungkinan apa yang berlaku pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, berulang.

Dalam PRK itu, kawasan majoriti Melayu menyaksikan pengundi Cina beralih sokongan terhadap calon Barisan Nasional (BN) Wee Jeck Seng, berbanding calon Bersatu dan PH, Karmaine Sardini.

“Saingan di kawasan majoriti Melayu lebih kepada BN dan Perikatan Nasional (PN). Ia antara Umno menentang Bersatu dan PAS. PKR dan Amanah tidak dianggap saingan kuat,” katanya seorang pemerhati politik kepada FMT.

Pemerhati yang enggan dinamakan itu berkata, tanpa sokongan pengundi Melayu, realitinya PH tidak mampu kembali berkuasa di negeri berkenaan pasca PRU14.

“Di Melaka, di kawasan majoriti Melayu yang mempunyai sejumlah besar pengundi bukan Melayu sekalipun, mereka mungkin mengundi PH, bagaimanapun ia belum mencukupi untuk menang,” katanya.

Pemerhati itu berkata, bagaimanapun berdasarkan penunjuk, berkemungkinan komuniti Cina terutama di kawasan majoriti Melayu akan “menggunakan” BN untuk menghukum Bersatu dan PN terhadap PAS, yang dilihat membawa budaya politik “ekstrem”.

“Mereka (bukan Melayu) mungkin akan mengulangi apa yang berlaku di Tanjung Piai (memilih BN berbanding Bersatu dan PH), selain menghantar mesej jelas terhadap PAS mahupun parti berkuasa yang membawa politik ekstrem tidak dialu-alukan di Melaka,” katanya.

PRN Melaka akan berlangsung pada Sabtu.

No comments: