Jangan pilih orang cakap anti rasuah, harta beratus juta ringgit

 

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang tidak dapat dianjurkan seperti biasa secara ceramah umum dihadiri ribuan rakyat diganti ceramah atas talian oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH).


Meski pun hanya rakaman, namun pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi begitu bersemangat menyeru agar pengundi di Melaka membuat perubahan dalam PRN 20 November ini.


Beliau memberi ingatan agar pengundi tidak terpedaya dengan ungkapan antirasuah pemimpin BN dan PN sedangkan masing-masing mempunyai kekayaan melimpah ruah.


Katanya, rakyat Melaka mempunyai peluang terbaik untuk melihat kerajaan yang bersih tanpa skandal pasir atau mengagih projek kepada kroni dengan memilih selain BN atau PN.


"PRN ini (kata orang) tak merobah semua. Tak betul, pilihlah orang yang anti rasuah. Orang bercakap anti rasuah ramai, semua anti rasuah tetapi pasir yang menelan ratusan juta itu dibolot oleh segelintir kelompok, nelayan terpinggir.


"Saya pergi ke Tanjung Bidara nelayan mengeluh. Tempat teduhan tak ada, jeti tak ada. Nelayan hampir 3 generasi kehidupannya hampir sama.


"Pergi kawasan Felda, baik di Asahan, Rim, Machap tidak banyak yang diberi sentuhan untuk bawa perubahan. Peniaga kecil Melayu, Cina, India, tak bolehkah kita bangunkan tempat perniagaan yang lebih baik.


"Masalah negara kita ini ialah dasar ditentukan oleh kelompok kecil yang jaga kepentingan sendiri. Pemimpin ada ratusan juta tetapi isytihar menentang rasuah. Pemimpin jenis ini hanya bicara menentang rasuah bila hampir pilihan raya, pada waktu lain merekalah jaguh memperkaya anak, isteri dan kroni," katanya.


Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson tersebut juga menempelak gaya berkempen BN dan PN yang lebih menekankan dominasi Melayu dalam politik. Memastikan Ketua Menteri Melayu, ADUN Melayu dan kalau boleh semua pimpinan Melayu.


Anwar turut mempersoalkan kempen 'merapu' komponen PN yang mengaitkan PH dengan ideologi komunisme dan segala macam kebencian lain. Sedangkan hal itu tidak boleh dibuktikan dan memang tidak wujud sama sekali.


"Yang ditonjolkan Ketua Menteri Melayu, ADUN majoritinya Melayu. Sedangkan yang perlu dipastikan perwakilan cukup dari semua kaum.


"Cakap soal Islam, kempen konon kalau PH menang komunis akan berkembang. Kalau di Pulau Pianng pula dah jadi negara Kristian, tak ada azan. Janganlah perbodohkan rakyat. Mereka kalau tahu apa yang berlaku, dia akan menolak orang begini. Gunalah nama apa, pakai jubah, tetapi kalau bercakap bohong mengelirukan, kita wajib menolak kenyataan seperti itu.


"(Realitinya) anak-anak yang tak bayar PTPTN boleh keluar negara? Tak boleh, kerana dibeku perjalanan dan pasport tetapi orang besar kalau pun didakwa dan dihukum rasuah, semua dilepaskan.


"Kalau mahkamah nak lepaskan urusan mahkamah, tetapi kenapa yang kecil ini dianggap separuh hamba, dipermainkan dan dinafikan hak mereka. Ini yang kita tolak.


"Saya nak rayu kepada saudara saudara, buat pilihan terbaik dan inshaAllah kita akan cuba sedaya upaya untuk bawa perubahan untuk di Melaka supaya lebih bermakna lagi," katanya.


No comments: