LEBIH MUNASABAH ISMAIL SABRI PASTIKAN BN TIDAK MENANG DI MELAKA, KEMENANGAN BN ADALAH KEJATUHANNYA

 

Ketika menerajui kerajaan, setiap kali UMNO menang dalam mana-mana pilihanraya, kemenangan itu selalu disimbolikkan sebagai kejayaan dan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menterinya.

Dengan itu, selalunya berdentam-dentumlah pujian dan sanjungan diberikan kepada Perdana Menteri tersebut.

Tetapi, di PRN Melaka ini, buat pertama kalinya jika BN berjaya mencipta kemenangan, ia tidak boleh sama sekali digambarkan sebagai kejayaan dan penerimaan rakyat terhadap Ismail Sabri Yaakob yang belum pun 100 hari memanaskan kerusi Perdana Menteri.

Malah, Ismail Sabri juga tidak berhak menuntut kejayaan BN itu nanti sebagai kejayaannya.

Sebaliknya, kejayaan BN di Melaka nanti adalah kejayaan unggul bagi Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Najib Razak serta bagi lain-lain pemimpin yang menerajui UMNO yang kekal keras dengan pendirian agar BN bertanding solo tanpa perlu bekerjasama dengan sesiapa.

Ismail Sabri, walaupun memegang jawatan Naib Presiden UMNO, beliau tidak berapa setuju untuk BN bertanding solo atas kepercayaan ia lebih menguntungkan pihak lawan.

Dengan disokong kelompok pemimpin kluster menteri yang tiada jawatan dalam UMNO, beliau sentiasa berusaha agar UMNO, Pas dan Bersatu saling bekerjasama serta tidak bertembung sesama sendiri.

Bahkan, di ketika UMNO sudah membuat ketetapan menolak Bersatu, kecuali hanya ingin terus bekerjasama dengan Pas, Ismail Sabri telah menawarkan dalam mesyuarat MT agar beliau diberi peluang berunding dan mencari jalan damai antara ketiga-tiga parti itu.

Begitu pun, sebagaimana kita semua tahu, usaha beliau itu telah gagal dan akhirnya terjadilah pertembungan sesama sendiri antara UMNO, Pas dan Bersatu seperti yang berlaku sekarang ini.

Kegagalan itu memperlihatkan Ismail Sabri dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri bagai “tiada harga” di mata pimpinan UMNO kerana beliau tidak berupaya mempengaruhi mereka untuk mendengar cakapnya agar parti-parti dalam kerajaan tidak bertembung sesama sendiri.

Maka itu, jika dalam PRN Melaka ini BN berjaya mencapai kejayaan, ia bukan saja suatu kejayaan buat Zahid Hamidi, Mohamad Hasan dan Najib, lebih buruk lagi ia juga akan meletakkan Ismail Sabri pada kedudukan lebih tidak berharga lagi.

Sudah tentu selepas itu, UMNO akan terus bertanding solo juga dalam PRU15 akan datang.

Dengan kata mudah, menuju tempoh PRU15 akan datang, Ismail Sabri sudah tidak relevan lagi untuk mewakili UMNO Perdana Menteri.

Terutama jika beliau terus bercakap untuk menyatukan UMNO, Pas dan Bersatu selepas itu, tidak mustahil akan ada pemimpin UMNO yang memaki hamunnya serta menggesanya meletakkan jawatan.

Realitinya, kemenangan BN akan menjadikan kerusi empuk Perdana Menteri yang diduduki Ismail Sabri bertukar jadi keras, panas serta tidak lagi selesa.

Tidak pasti sama ada Ismail Sabri sedar atau tidak ancaman ini, namun beliau tidak harus berdiam diri begitu saja jika ingin kekal lebih lama lagi sebagai Perdana Menteri.

Hanya dengan BN kalah saja di Melaka, barulah keperluan atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri diperlukan semula oleh UMNO untuk bekerjasama dengan Pas dan Bersatu.

Sekaligus akan membuatkan usaha penyatuan yang cuba diusahakannya sebelum ini, tetapi terbantut, turut dianggap perlu untuk disambung semula.

Ismail Sabri sendiri, dengan kalahnya BN nanti, boleh juga tanpa ragu-ragu menyalahkan pimpinan UMNO lantaran tidak memberi ruang yang cukup kepadanya mencari jalan mengelakkan pertembungan tiga penjuru itu menyebabkan BN kecundang di Melaka sudahnya.

Siapa lagi yang layak merundingkan kerjasama UMNO, Pas dan Bersatu selepas masing-masing kalah perang kalau bukan Perdana Menteri sebagai jururundingnya?

Secara mudahnya, menang saja BN akan membuatkan Ismail Sabri terus tenggelam, tapi kecundang BN, bolehlah beliau terus bertahan untuk dicalonkan lagi sebagai Perdana Menteri. – ShahbudinHusin 17/11/2021



No comments: