KAH..KAH...BOSSLU - DIA BALUN DUIT BILLION BILLION- CAI NAK NOREH TAK BOLEH- HUJAN......

 


Jho Low ‘orang di balik tabir’ 1MDB, kata bekas pengarah




Jho Low hanya dinamakan sebagai penasihat Terengganu Investment Authority (TIA) tetapi pelantikannya tidak didokumenkan selepas TIA menukar nama kepada 1MDB, menurut Ismee Ismail.

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi dalam kes perbicaraan rasuah 1MDB Najib Razak bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho adalah “orang di sebalik tabir” syarikat.

Ismee Ismail yang berkhidmat sebagai pengarah sejak 2009 hingga 2016, berkata beliau mula bertemu Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low ketika Terengganu mula menubuhkan Terengganu Investment Authority (TIA), pelopor kepada 1MDB.Katanya, beliau dipilih oleh Sultan Mizan Zainal Abidin untuk menjadi salah seorang ahli jawatankuasa pemandu TIA. Ahli lain ialah Low, Mohd Bakke Salleh, Azlan Mohd Zainol dan Abdul Aziz Mohd Akhir.

“TIA bertujuan menjadi dana kekayaan negeri Terengganu.

“Jawatankuasa pemandu mengadakan pertemuan beberapa kali untuk membincangkan perkara berkaitan penubuhan syarikat dan dana. Saya diberitahu bahawa TIA akan mendapat jaminan kerajaan untuk membiayai operasinya nanti,” katanya.

Ismee berkata Low memperkenalkan dirinya ketika menghadiri salah satu mesyuarat jawatankuasa pemandu itu.

“Saya tidak tahu mengapa beliau berada di sana dan saya beranggapan beliau adalah penasihat Tuanku.

“Bagaimanapun, ketika mesyuarat kami, saya sedar bahawa Jho Low berperanan sebagai penasihat kepada Datuk Seri (Najib) dan sering menggunakan panggilan ‘boss’ kepada Perdana Menteri itu,” katanya.

Katanya, Low hanya dinamakan sebagai penasihat TIA tetapi pelantikannya tidak didokumenkan selepas TIA menukar nama kepada 1MDB.

Ismee berkata, walaupun Low tidak mempunyai peranan rasmi dalam 1MDB tetapi ahli perniagaan berasal dari Pulau Pinang itu “masih memainkan peranan di sebalik tabir”.

“Kami (pengarah-pengarah 1MDB) selalu menerima emel daripada beliau. Emel ini adalah pelbagai cadangan untuk kami laksanakan.

“Saya tidak tahu atas kapasiti apa Jho Low menghantar emel ini. Apa yang kami tahu ialah beliau mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Perdana Menteri dan kami tidak mengabaikan langsung cadangannya,” katanya.

Ismee berkata Low turut mengikuti Najib, beberapa pegawai kerajaan dan pihak 1MDB untuk melakukan lawatan rasmi ke Abu Dhabi.

“Tujuan lawatan ini bagi pihak 1MDB adalah untuk melihat model masjid yang akan dibina di Malaysia menerusi usahasama dengan Aabar.

“Jho Low turut membantu kerajaan mendapatkan kuota tambahan haji sebanyak 10,000 bagi rakyat Malaysia,” katanya.

Pihak pendakwaan, dalam kenyataan pembukaan perbicaraan itu, berkata Low adalah “cerminan imej” Najib. Ia berkata “kata-kata dan tingkah laku bekas Perdana Menteri itu kepada pegawai 1MDB, ahli lembaga pengarah dan lain-lain jelas menunjukkan Jho Low adalah alter egonya”.

‘Najib menandatangani resolusi pemegang saham tidak bertarikh di hadapan pengarah’

Ismee turut memberitahu mahkamah bahawa beliau biasanya akan bertanyakan soalan sebelum menandatangani resolusi pengarah kerana ia melibatkan keputusan penting dalam pelaburan, pelantikan kakitangan dan urusan keselamatan negara.

“Saya sering bertanya (bekas Ketua Pegawai Eksekutif) Shahrol Azral Ibrahim Halmi atau (bekas Ketua Pegawai Kewangan) Azmi Tahir sama ada penilaian telah dibuat sebelum kami melaksanakan apa-apa keputusan. Kadangkala, saya bertanyakan perkara sama kepada pengarah yang lain.

“Resolusi kami akan dibawa kepada Datuk Seri (Najib) untuk kelulusannya kerana beliau adalah pemegang saham,” katanya.

Ismee berkata bagaimanapun, terdapat beberapa kali apabila Najib terlebih dahulu memberi kelulusan sebelum pengarah menandatangani resolusi itu.

“Walaupun perkara ini terbalik daripada proses sebenar, namun jika Datuk Seri telah tandatangan Resolusi Pemegang Saham Keutamaan Boleh Tebus Hak Istimewa tanpa meletakkan tarikh, kami (pengarah) hanya tandatangani tanpa mempersoalkannya,” katanya.

Najib berdepan 25 pertuduhan menyalahguna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dipindahkan ke akaun AmBank antara February 2011 dan Disember 2014.

Pendengaran dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah akan bersambung.

No comments: