LAAA....AWAT PULAK RAUF- TAK MAU KA JADI MB ?

 


Terkini! Rauf enggan dikaitkan dengan isu calon Ketua Menteri Melaka dari BN


Terkini! Rauf enggan dikaitkan dengan isu calon Ketua Menteri Melaka dari BN


Enggan dikaitkan dengan isu calon ketua menteri Melaka dari BN, pengerusi Umno negeri itu Ab Rauf Yusoh menyifatkan dirinya sebagai seorang ahli parti yang patuh kepada arahan.

Bagi calon BN untuk DUN Tanjung Bidara itu, dia menganggap isu ketua menteri dari gabungannya sudah selesai selepas ia diumumkan sejak awal Nov lalu.

Penegasan itu dibuat Ab Rauf ketika masih wujud spekulasi bahawa dia bakal diangkat mengisi jawatan ketua menteri andainya BN berjaya membentuk kerajaan selepas 20 Nov ini.

“Saya tak pernah pun disebut sebagai bakal ketua menteri ataupun calon ketua menteri (BN) kerana parti telahpun membuat cadangan yang calon ketua menteri itu adalah Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Jadi, jangan kaitkan saya dalam isu ini,” katanya ketika ditemu bual Malaysiakini baru-baru ini.

“Saya seorang ahli parti yang patuh pada arahan parti. Saya seorang yang rendah diri dalam parti,” katanya lagi.

Menurut bekas speaker DUN Melaka itu lagi, apa pun yang berlaku, isu calon ketua menteri tidak patut diperbesarkan kerana BN perlu sekurang-kurangnya membentuk majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan terlebih dahulu.

Secara keseluruhan ada 28 kerusi dalam DUN Melaka dan untuk membentuk kerajaan sesebuah parti perlu mengumpulkan minimum 15 daripada kerusi tersebut.

Isu calon ketua menteri dari BN masih disebut-sebut antara lain disebabkan sebelum ini ada pihak mendakwa Ab Rauf sebenarnya yang menentukan sesuatu keputusan kerajaan Melaka di sebalik kedudukannya bukan ketua menteri.

Bagaimanapun bekas setiausaha kerja Umno Malaysia itu menafikan dakwaan tersebut.

Tambah Ab Rauf dia berpendapat tiada faedah untuk terus bercakap mengenai isu calon ketua menteri kerana ia adalah hak parti untuk menentukannya.

Semua calon berpotensi menang

Apa yang perlu diutamakan sekarang, katanya, ialah memenangi pilihan raya.

Pada pilihan raya ini, Rauf berdepan dengan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Zainal Hassan (PKR-PH).

Untuk rekod Mas Ermieyati timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memenangi kerusi parlimen Masjid Tanah atas tiket BN namun meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu pada 12 Dis 2018, iaitu hanya kira-kira tujuh bulan selepas PH membentuk kerajaan pusat.

Tanjung Bidara merupakan satu daripada lima DUN yang berada di bawah parlimen Masjid Tanah. Selain Tanjung Bidara, DUN lain ialah Lendu yang ditandingi Sulaiman, Kuala Linggi, Ayer Limau dan Taboh Naning.

Mengulas mengenai sasaran kerusi yang bakal ditawan oleh Umno, Ab Rauf percaya parti itu boleh mempertahankan 12 kerusi yang dimenangi mereka pada 2018 selain menambah empat kerusi baru.

Empat kerusi tersebut termasuk DUN Bukit Katil yang sebelum ini dimenangi PH melalui calon dari Amanah, Adly Zahari, yang menjadi ketua menteri selepas PRU ke-14 lalu.

Sebelum dirampas Adly, Bukit Katil – yang sebelum ini dikenali sebagai DUN Bukit Baru – merupakan kerusi seorang lagi bekas ketua menteri, Mohd Ali Rustam, yang diwakilinya dari 2004 sehingga 2013.

Pada PRU lalu Bukit Katil menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan Adly memperolehi undi sebanyak 11,226, Yunos Hitam (BN) pula mendapat 8,067 undi manakala Muhamat Puhat Bedol (PAS) 2,237 undi.

Dalam PRN ini PH mencalonkan Adly sebagai calon ketua menteri mereka.

Menurut Ab Rauf, pada bacaan BN Melaka kerusi-kerusi tersebut akan kembali semula kepada mereka sekali gus membuka jalan untuk gabungan berkenaan membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, BN tidak memandang mudah kekuatan pihak lawan lerama lagi semua calon terbabit juga mempunyai potensi untuk menang.

“Sebab, kalau tak (ada potensi menang) dia takkan buang masa, buang duit meletakkan calon dia.

“Sama ada PAS, Bersatu (PN), PH atau mana-mana parti yang meletakkan calon mereka, Umno tidak memandang mudah untuk kali ni.

“Sama ada ia mewakili sudut mana – sudut agama, sudut sosial ataupun daripada sudut medium politik lain – sebenarnya Umno tidak memandang mudah kepada sesiapa pun,” katanya.

No comments: