UMNO BERMIMPI PAS, MENGIGAU BERSATU…..

 

Walaupun Pas bertanding atas lambang PN yang diketuai Bersatu dalam PRN Melaka, UMNO secara umumnya masih berharap dapat meneruskan hubungan dengan parti Islam tersebut di masa depan.

Bagi UMNO, tidak mengapa Pas bersama PN dalam PRN Melaka ini, yang penting asalkan parti itu dapat bersama mereka dalam PRU15 nanti.

Sebab itu, bagi UMNO dan BN, penting untuk mereka memenangi PRN Melaka 20 November ini.

Hanya dengan BN menang di Melaka ini saja UMNO dapat membuktikan kepada Pas bahawa pilihannya untuk bersama Bersatu dan PN adalah suatu keputusan yang salah.

Dengan demikian, mereka berharap Pas akan kembali bekerjasama dengan UMNO dan mengukuhkan semula Muafakat Nasional atau MN bagi menghadapi PRU15 akan datang.

Dalam erti kata lain, harapan UMNO ialah Pas akan meninggalkan Bersatu terkontang-kanting sendirian selepas tewasnya PN dalam PRN Melaka ini.

Ada juga pemimpin UMNO menjangka bahawa Bersatu akan dibubarkan sebaik PRN Melaka jika kemenangan yang terhasil nanti memihak kepada BN.

Konon kata sesetengah pemimpin UMNO, jika Bersatu tewas, maka parti itu tidak ada pilihan lain lagi selain membubarkan partinya dan kembali semula kepada UMNO.

Mungkinkah itu yang akan berlaku?

Pertama, jika UMNO masih berharap dapat bersama dengan Pas dan mengukuhkan semula MN, waima jika BN menang sekali pun di PRN Melaka, ia sebenarnya hanyalah bermimpi di siang hari saja.

Dalam banyak keadaan, Pas ternyata lebih selesa bersama dengan Bersatu berbanding bersama UMNO.

Dengan bersama Bersatu dan PN, Pas akan kekal bertanding di kerusi-kerusi dominan di mana ia kuat sebagaimana sekarang, selain tiada masalah untuk kekal menguasai Kelantan, Terengganu dan juga Kedah.

Menguasai tiga negeri itu dan memperolehi beberapa kerusi Parlimen sudah memadai buat Pas untuk memastikan ia kekal relevan serta bertahan dalam kerajaan yang dijangka selepas PRU15 juga tidak terkecuali memerlukan sokongan pelbagai parti.

Jika bersama UMNO, adakah Pas akan dapat mengekalkan apa yang dimilikinya sekarang atau terpaksa berbahagi serta berkongsi dengan mereka?

Sama ada BN menang dan lebih-labih lagi PN menang, percayalah, Pas akan tetap kekal bersama Bersatu untuk sehidup semati dengan PN kerana ia lebih menguntungkan mereka berbanding bersama UMNO.

Kedua, Pas sudah terlalu banyak terhutang budi kepada Bersatu yang bukan saja membawanya berada dalam kerajaan, malah memberi laluan dalam mengecapi pelbagai nikmat tak terhingga dalam kehidupan.

Ada maklumat memberitahu, gelaran Tan Sri yang diperolehi Hadi Awang baru-baru ini juga adalah cadangan yang dikemukakan oleh Mahiaddin sebelum beliau meletakkan jawatan lagi.

Untuk itu, setia Pas bersama Bersatu dan PN sukar digugat oleh UMNO.

Yang ketiga, jika berharap Pas akan kembali kepada UMNO adalah suatu mimpi, mengharapkan Bersatu dibubarkan selepas PRN Melaka pula barangkali lebih tepat dianggap igauan di waktu tengahari.

PRN Melaka bukanlah penentu kepada hidup mati Bersatu atau PN kerana ia cuma pilihanraya negeri saja.

Mereka tidak terjejas apa-apa, waima jika tidak menang walau satu kerusi sekali pun.

Yang mungkin lebih risau hati selepas PRN Melaka ini ialah Ismail Sabri, bimbang kalau-kalau Bersatu menarik sokongan serta menjatuhkannya sebagai Perdana Menteri.

Penentu masa depan Bersatu dan PN ialah PRU15, oleh itu, jika kalah sekali pun di PRN Melaka ini, perjuangan sebenar mereka belum lagi berakhir.

Selagi ada Pas dalam PN dan selagi keyakinan Bersatu kepada Pas tidak goyah, Bersatu bukan saja tidak mungkin dibubarkan, malah akan terus menerajui PN memacu pertempuran yang lebih sengit melawan UMNO dalam PRU15 akan datang.

Lagi pula, melibat cara PN dan Bersatu berkempen serta berbelanja dalam PRN Melaka ini, ia sama sekali bukan petanda mereka akan menghentikan perjuangan dalam waktu terdekat ini.

Kepada sebilangan pemimpin UMNO, kalau pun penat berkempen di Melaka, elakkan tidur di siang hari – nanti bermimpi dan mengigau yang bukan-bukan.


 ShahbudinHusin 16/11/2021.


No comments: