Tak jawab soalan berkait LTSAAS, HSR, Anwar ‘belasah’ Tengku Zafru

 

Anwar Ibrahim berkata Tengku Zafrul Abdul Aziz boleh memberi jawapan bertulis kepadanya jika beliau tidak mempunyai masa untuk berucap di Parlimen.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menjadi perhatian di Dewan Rakyat hari ini berhubung soalan tidak dijawab mengenai projek infrastruktur seperti pengambilalihan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, berkata dengan “berbilion” yang diperuntukkann dalam projek lapangan terbang, menteri itu tidak menjawab pertanyaannya.Beliau berkata, satu lagi perkara membimbangkan ialah projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura, sambil menambah bahawa ekuiti 50:50 syarikat yang menjalankan projek itu akan meletakkan negara pada kedudukan tidak menguntungkan.

Anwar mendakwa, kerajaan membayar lebih daripada yang diperlukan untuk penggantian kenderaan bagi pemimpin kanan kerajaan.

Memetik “kontak”, Anwar berkata, beliau diberitahu kerajaan telah membuat tawaran lebih rendah tetapi membuat pilihan lebih mahal. Anwar meminta Tengku Zafrul untuk menjelaskannya.

Anwar juga berkata, soalan dikemukakannya mengenai kerajaan memberikan jaminan RM500 juta kepada AirAsia, di mana Malaysia Airlines telah diketepikan, masih belum terjawab.

Beliau mempersoalkan penggunaan “angka ramalan tertinggi di dunia” oleh menteri berbanding inisiatif fiskal dalam bajet selain peningkatan lesen perjudian.

Anwar bertanya sama ada lesen perjudian itu telah diluluskan oleh Jemaah Menteri, termasuk menteri daripada parti Melayu seperti Umno, PAS dan Bersatu.

Beliau meminta butiran mengenai berapa banyak lesen diluluskan, bila ia diluluskan dan banyak lagi, tetapi “tiada jawapan sehingga kini”.

“Menteri kewangan tidak menjawab banyak soalan yang saya ajukan. Saya harap beliau tidak mengambil mudah perkara ini. Jika tidak cukup masa, beliau wajib menjawab secara bertulis.

“Ini penting kerana ia melibatkan jumlah wang yang besar,” katanya.

No comments: