PRN Melaka: Semua pandangan diambil kira, jawatankuasa post mortem ditubuh

 



KEADILAN akan menubuhkan jawatankuasa bedah siasat kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jangan terburu-buru memberi pandangan dan penilaian mengenai prestasi Pakatan Harapan (PH).

"PRN Melaka kita terima banyak teguran. Tak boleh gopoh, tak boleh nampak angkuh dan sombong. Sama ada buat tundingan atau mengenepikan pandangan pihak lain.

"Tawaduk sikit jangan nampak mengenepikan semua pandangan. Kita tahu sikit dan kita buat rumusan," katanya ketika ditanya wartawan petang tadi.

Mengenai faktor mengambil calon melompat penyebab kurangnya undi yang diterima PH, Anwar berkata masih terlalu awal untuk mengesahkan hal berkenaan.

"Itu satu pandangan tapi kalau kita teliti undi, tak semua yang tepat. Yang mengusulkan supaya 4 orang itu menyokong PH adalah pimpinan PH Melaka, ketua Amanah, ketua KEADILAN, ketua DAP mereka usulkan.

"Peringkat awal kita tidak setuju tetapi mereka yakin ini untuk mengembalikan mandat PH. Kali kedua kita masih tidak setuju. Sebelum bubar orang ini tidak berganjak bila dipelawa oleh Umno (kembali kepada parti), sebab itu bila bubar kita ada masalah, bagaimana kita nak buang begitu sahaja," katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berkata, satu jawatankuasa bedah siasat telah dibentuk dengan dipengerusikan oleh ahli majlis penasihat KEADILAN Dr Syed Husin Ali untuk mengenalpasti punca kekalahan.

"Tadi saya jumpa semua Ahli Parlimen dan pimpinan Melaka, dan jawatankuasa bebas untuk buat penilaian diketuai Syed Husin Ali. Kita ada setiausaha bersama Adam Adli dan juga Faisal Sanusi. Mereka ini tidak terlibat dengan penyelenggaraan pilihan raya, kita nak pendapat bebas," katanya lagi.

 

No comments: