Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Johor kesal dengan sikap
sesetengah pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang menunding jari
menyalahkan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca kekalahan dalam
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Kata MPN, semua keputusan penting mengenai PRN itu dibuat dalam
mesyuarat dan pihak yang mempersoalkan perlu menghormati semangat perpaduan dan
konsensus dalam PH.
"PH sentiasa dipandu atas keputusan kolektif. Maka
menyalahkan hanya seorang individu sahaja sedangkan sebarang keputusan PH bukan
bersifat keputusan tunggal, sebaliknya ia adalah keputusan kolektif yang perlu
dipertanggungjawabkan kepada semua.
"Justeru, adalah sangat tidak wajar mana-mana pimpinan dalam
komponen PH untuk menuding jari kepada Ketua Pembangkang seolah-olah segala
keputusan dibuat atas kehendak beliau semata-mata. Jangan hanya menjulang nama
Anwar Ibrahim ketika beroleh kemenangan, tetapi dijadikan kambing hitam setelah
menghadapi kekalahan," kata MPN dalam kenyataan itu.
Menurut mereka lagi, pasca PRN Melaka adalah waktu untuk
bermuhasabah dan ambil pengajaran daripada yang telah berlaku, sentiasa peka
situasi semasa dan lakukan perubahan.
"Inilah masanya PH melakukan perubahan, khususnya dalam
strategi memenangi hati pengundi luar bandar dan anak muda serta bagaimana
untuk memastikan pengundi luar pulang mengundi bagi mengelakkan kekalahan dalam
PRN berulang kembali.
"MPN KEADILAN Johor berdiri teguh di bawah kepimpinan Datuk
Seri Anwar Ibrahim bagi mengemudi PH untuk menghadapi PRU-15 yang bakal
menjelang," kata mereka lagi.