SPR umum PRN12 Sarawak diadakan 18 Disember depan

 


Oleh RAYMOMD LUI / November 24, 2021


Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini telah mengumumkan tarikh bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 akan diadakan pada 18 Disember depan.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya telah pun menerima notis pengisytiharan kekosongan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Speaker DUN bertarikh 3 November 2021.

Justeru, katanya SPR telah mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh PRN12 diadakan bagi mengisi kekosongan 82 DUN di negeri ini.

“Maka dengan ini kita menetapkan tarikh PRN12 Sarawak akan diadakan pada 18 Disember 2021 manakala Hari Penamaan Calon dilangsungkan pada 6 Disember 2021.

“Bagi Hari Pengundian Awal pula, SPR menetapkan diadakan pada 14 Disember 2021,” jelas beliau dalam satu sidang media di Kuching hari ini.

Jelas beliau lagi, bagi menjalankan proses PRN12 Sarawak SPR telah melantik 82 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 249 orang Penolong Pegawai Pengurus untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen

Malah, tambahnya SPR turut menubuhkan 155 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang akan dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

“Manakala daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN12 kali ini adalah Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan (DPT) ST2/2021 yang dikemaskini sehingga 2 November 2021.

“Daftar Pemilih tersebut mengandungi 1,252,014 orang pengundi yang terdiri daripada 1,228,858 orang pengundi biasa, 12,585 orang anggota tentera dan pasangan, 10,458 orang anggota polis PGA dan pasangan serta 113 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara. DPPR tersebut akan mula dijual pada 1 Disember 2021,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi sekali gus memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi pada 18 Disember nanti.

Sebelum ini, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan Proklamasi Darurat (Sarawak) P.U. (A) Seksyen 2 (2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 (P.U.(A)324.

Berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri (DUN) hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diiungkaikan.

Di bawah Seksyen 3(4) Ordinan yang sama, berkehendakkan, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

Proklamasi Darurat di Sarawak telah dibatalkan pada 3 November lalu yang mana
perkara itu disahkan mengikut Warta Kerajaan Persekutuan Proklamasi Darurat (Sarawak) (Pembatalan 2021) dikeluarkan Jabatan Peguam Negara.

No comments: