12 TAHUN DALAM TANGAN MAHU RAYUAN LAGI ? Mahkamah tolak permohonan Najib tangguh keputusan kes dana SRC International

 

Mahkamah tolak permohonan Najib tangguh keputusan kes dana SRC International




Najib Razak yang kini berada di Singapura bersama anaknya yang baru-baru ini bersalin hanya akan pulang pada 5 Dis dan perlu menjalani kuarantin hingga 12 Dis.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan 8 Dis sebagai tarikh keputusan bagi rayuan kes Najib Razak membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Timbalan Pendaftar Mohd Khairi Haron memaklumkan kepada pihak pembelaan menerusi surat hari ini bahawa permohonan untuk menangguhkan keputusan itu ditolak.“Sila hadir ke mahkamah pada tarikh tersebut (8 Dis),” katanya.

Semalam, peguam Najib menulis surat kepada mahkamah memohon untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuan bekas Perdana Menteri itu. Mereka meminta mahkamah menyampaikan keputusan antara 13 dan 17 Dis sebagai ganti.

Mereka berkata, Najib hanya akan pulang ke Kuala Lumpur dari Singapura pada 5 Dis dan perlu menjalani kuarantin tujuh hari sehingga 12 Dis.

Beliau kini berada di Singapura bersama anaknya yang bersalin baru-baru ini.

Semalam, Pejabat Ketua Pendaftar berkata, Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan mengenai kes terbabit pada 8 Dis.

Najib membuat rayuan untuk membatalkan sabitan terhadap tujuh tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta..

Panel Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh hakim Abdul Karim Abdul Jalil, menangguhkan keputusannya. Hakim lain yang bersidang adalah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada Julai tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas beliau didapati bersalah atas semua tuduhan.

Beliau dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Amanah Wang Pencen (KWAP).

Beliau juga didakwa atas tiga tuduhan CBT dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

No comments: