Oleh: Hassan Abdul Karim
Tengahari ini, Selasa 23 November, saya terserempak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Dewan Rakyat, di Bangunan Parlimen.
Saya berasa kasihan apabila bertemu Anwar Ibrahim tadi, bukan dia sebagai Presiden KEADILAN atau Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tetapi Anwar sebagai Manusia biasa.
Sejak PH kalah teruk di Pilihan Raya Negeri Melaka pada 20 November lalu, Anwar dihentam separuh mati. Beliau didesak ke tepi. Didesak berundur. Bagi peluang orang muda pula memimpin. Macam langit nak runtuh menghempap kepala Anwar.
Demikianlah risiko kepada pemimpin politik bila partinya kalah dalam pilihan raya.
Anwar tenang dan tabah
Tetapi saya lihat Anwar tenang sahaja pagi tadi. Dia tetap kelihatan yakin. Itu gambaran luar yang nampak. Apa yang ada di dalam hatinya, Tuhan sahaja yang tahu.
Anwar Ibrahim dapat tenang dan tabah kerana beliau telah melalui musibah yang lebih dahsyat sebelum ini.
Dia bukan orang yang mudah merajuk atau mudah patah hati. Dari perhatian saya sejak puluhan tahun mengenal susuk diri bernama Anwar Ibrahim ini, Presiden KEADILAN ini punya stamina perjuangan yang kental. Kelebihan ini perlu dicontohi pemimpin-pemimpin muda. Setiap kali Anwar tumbang dan rebah, dia akan bangkit kembali.
Saya pun rasa bersalah apabila bertemu Anwar tengahari tadi. Muka berhadapan, budi kedapatan.
Saya antara pihak yang awal mengkritik Anwar secara terbuka atas kegagalan PH dalam PRN Melaka.
Pihak media menghubungi saya melalui telefon dan minta komen saya terhadap kekalahan PH, terutama KEADILAN sehari selepas PRN Melaka.
Saya disoal bertubi-tubi minta komen saya, adakah setuju dengan tuntutan supaya Anwar berundur dan ke tepi setelah KEADILAN dan PH tewas teruk.
Kepimpinan Anwar masih diperlukan
Saya menjawab dengan yakin. Jawapan saya tidak. Diasak lagi dengan soalan yang sama. Jawapan saya tetap tegas. Tidak, kata saya. Anwar masih diperlukan oleh KEADILAN dan PH.
Semalam dan hari ini, saya melihat mereka yang menyerang Anwar sudah melampau, dan berlebih-lebih. Orang putih cakap, "over kill". Pemimpin-pemimpin utama lain PH tidak pula diserang seteruk Anwar.
Sebagai manusia biasa dan seorang anggota KEADILAN, saya pun ada perasaan. Saya pun ada rasa kecil hati apabila pemimpinnya diserang secara tidak adil.
Tetapi ada hikmahnya juga. Apabila serangan dan kecaman yang melampau dan berlebih-lebihan terhadap Anwar Ibrahim, kesan sebaliknya berlaku. Timbul rasa simpati terhadap Ketua Pembangkang itu.
Bukan tak boleh kritik dan tegur Anwar. KEADILAN, PH dan Malaysia mengamalkan keterbukaan dan demokrasi.
Tidak munasabah berundur
Kita hendak menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 tak lama lagi, mungkin tahun hadapan. Cadangan hendak suruh Anwar Ibrahim berundur sekarang sebelum PRU 15 adalah cadangan yang tidak menasabah.
Barisan Nasional (BN)/Umno dan pihak-pihak yang anti-KEADILAN dan PH memang suka sangat jika Anwar Ibrahim disingkirkan. Bertepuk tanganlah mereka
Pada hemat saya, pada ketika ini, dalam masa setahun dua ini, tidak ada orang lain yang ada kepimpinan yang diperlukan untuk mengetuai KEADILAN dan PH menghadapi PRU15 bagi menggantikan Anwar Ibrahim sekiranya Presiden KEADILAN dan Pengerusi PH itu diketepikan.
Kesimpulannya, dalam keadaan KEADILAN dan PH hanya ada beberapa bulan sahaja akan menempuh satu peperangan besar PRU 15, maka amat tidak bijak jika kita menukar Ketua Panglima Perang dengan sewenang-wenangnya.
________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang