Sudah sah kini Perikatan Nasional atau PN akan masuk menyertai PRN Melaka atas nama gabungan itu sendiri tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti lain.
Dalam kenyataan medianya, Mahiaddin Md Yasin berkata, Bersatu, Pas dan Gerakan akan bertanding di semua 28 kerusi dalam PRN Melaka 20 November ini dengan menggunakan lambang PN.
Maklumat awal daripada sumber PN mengatakan, berikutan keputusan gabungan itu bertanding semua 28 kerusi, pembahagiannya ialah Bersatu akan bertanding 18 kerusi, manakala Pas dan Gerakan masing-masing diperuntukkan 5 kerusi.
Dengan bertanding 18 kerusi bermakna Bersatu akan bertanding di semua kerusi yang ditandingi UMNO dan cuba mengalahkan calon parti tersebut.
Pada PRU 2018 lalu, UMNO bertanding di 18 kerusi dan menang 13 daripadanya.
Dipercayai untuk PRN kali ini, UMNO akan kekal bertanding di 18 kerusi tersebut, manakala selebihnya akan ditandingi oleh parti komponen BN yang lain.
Dengan keputusan PN ini juga bererti Bersatu dan Pas tidak lagi mengharapkan kerjasama UMNO dalam PRN Melaka.
Berikutan UMNO dilihat mempunyai kecenderungan untuk bertanding solo atas tiket BN dan enggan bekerjasama dengan Pas atau Bersatu sebagaimana ditegaskan beberapa kali oleh Zahid Hamidi, PN juga tidak lagi berharap kepada kerjasama mereka.
Bermakna, pertandingan tiga penjuru antara BN, PN dan PH atau lebih jika ada parti lain turut masuk bertanding, sudah tidak dapat dielakkan lagi.
Bersatu dan Pas dalam hal ini tidak perlu lagi mengeluarkan sebarang kenyataan yang menunjukkan mereka ingin bekerjasama dengan UMNO atas apa alasan sekali pun.
Lupakan UMNO dan bergandinglah tanpa keraguan bersama ketegasan Pengerusi PN, Mahiaddin untuk gabungan itu bertanding sendiri tanpa mengharapkan kerjasama pihak lain.
Lagi pula, lagi banyak mengeluarkan kenyataan ingin bekerjasama, sedangkan UMNO kekal dengan kecenderungannya ingin bertanding solo, nampak sangat Bersatu dan Pas dilihat sebagai parti yang lekeh dan terhegeh-hegeh.
Melalui pendirian terbaru ini, Bersatu dan Pas dengan dibantu Gerakan hanya perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada PRN Melaka dengan memperkukuhkan jentera mereka untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi dan membuktikan PN adalah gabungan yang setanding dengan BN.
PRN Melaka adalah masa untuk PN, khususnya Bersatu dan Pas untuk membukti kekuatan, bukan untuk mempamerkan kelekehan. – ShahbudinHusin 26/10/2021.