Sejak 2012 Parlimen diam isu pengaliran wang haram
Pengaliran wang haram keluar negara bukan terhad kepada Pandora Papers namun telah didedahkan sejak 2012, cuma hasil siasatan masih tidak diketahui.
Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH – Port Dickson) berkata, isu yang ditimbulkan beliau spesifik mengenai apakah siasatan yang telah dijalankan namun Menteri Undang undang Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hanya menjawab di Dewan Rakyat mengenai prosedur siasatan dan tindakan.
“Terima kasih kepada menteri beri penjelaan terhadap semua undang-undang yang ada dan yang dibuat pada masa saya (sebagai Timbalan Perdana Menteri) sampai sekarang.
“Soalan saya spesifik. Bila disebut Pandora Papers itu ialah laporan yang dikeluarkan sejak awal di dewan ini, sejak 2012, Global Financial Intergrity (GFI), ada kaitan Panama Papers dan sekarang Pandora Papers.
“Apa dia GFI yang dikaitkan dengan keterangan IMF, United Nations? Ini illicit financial flows. Kalau nak beri penjelasan akaun wang pesisir ini halal atau betul, orang tak pertikai itu.
“Yang dibangkitkan ini adalah wang pengaliran haram, apa yang disebut money that illegally earn, use or move and which croses international border.
“Laporan itu sejak 2012 dan tidak ada pelan tindakan, tidak ada laporan. Ini saya anggap satu dalih untuk melengahkan.
“Saya nak keputusan PM, ‘kita akan arahkan penyiasatan yang rapi dan tidak akan melindungi’,” kata Anwar membidas jawapan Wan Junaidi yang tidak memperincikan hal siasatan.
Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu lagi, rakyat tidak boleh menunggu kerana di Asia negara Malaysia mencacat jumlah tertinggi pengaliran wang keluar dan penjelasan yang konkrit perlu diberi di Parlimen.
“Di Asia kita ini jumlahnya (pengaliran wang keluar) tertinggi. Berdasarkan laporan 2019, GFI merumuskan pengaliran wang dana haram ini adalah rasuah wang dari sumber haram yang lain, perjudian, pembalakan, perdagangan manusia. Ini semua digabungkan dan disebut di sini. Malaysia tertinggi di Asia daripada 30 negara.
“2015 (Malaysia) AS$33.7 bilion, India hampir AS$10, Bangladesh hampir AS$6, Filipina AS$5.1. Menteri jawab ini mungkin tidak tepat kerana dimasukkan dana yang halal.
“Buatlah siasatan. Sudah hampir 10 tahun. Ambil tindakan. Jangan ambil tindakan kepada yang di bawah. Ini nama besar (menteri). Kalau mereka tidak salah beritahu Parlimen bahawa mereka tidak salah.
“Mereka kutip AS$900 juta ini kerana menang loteri tiap minggu. Ini kena beritahu kepada kita. Inilah yang saya nak tanyakan, apakah tidak mungkin kerajaan menetapkan satu pengarahan yang jelas kepada SPRM, jabatan jenayah perdagangan, Bank Negara Malaysia, LHDN. Ambil tindakan dan beri tempoh tindakan itu diambil,” katanya.
Bagaimanapun Junaidi memberi jaminan Perdana Menteri akan mengarahkan siasatan rapi dan semua agensi penguatkuasaan akan terlibat.
Selepas siasatan dibuat maka jawapan akan diberikan kepada Parlimen.
Namun Anwar bangkit sekali lagi dan menekankan agar menteri menjelaskan apa yang berlaku sejak sedekad lalu, bukannya beri jaminan mengenai siasatan akan datang.
“Jelaskan apa yang terjadi sejak kita bangkitkan di Parlimen pada 2012 sehingga sekarnag. Tidak ada apa yang berlaku, bagaimana kita nak yakin sekarang ada perubahan dan tindakan,” katanya lagi.