Oleh SHAHBUDIN HUSIN / October
26, 2021
Pelbagai pihak dilihat
tidak senang dengan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung
larangan ceramah, majlis sosial, pelancaran jentera dan segala aktiviti terbuka
sepanjang tempoh berkempen dalam PRN Melaka.
Tambahan lagi larangan
itu yang konon bertujuan mengelak penularan semula wabak Covid-19 dikeluarkan
ketika Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Najib Razak dan pemimpin-pemimpin
Umno sudah mula turun menjelajah beberapa kawasan di Melaka untuk memastikan
kemenangan BN pada 20 November depan.
Bagi pihak dalam Umno,
mereka melihat larangan itu tidak lain bertujuan menghalang pemimpin-pemimpin
Umno menjalankan kerja-kerja kempen secara agresif bertemu pengundi.
Kata mereka lagi, sebagai parti
yang berasaskan akar umbi, kempen turun ke bawah bertemu rakyat dan pengundi
adalah perkara yang tidak boleh dielakkan bagi Umno bila berlaku pilihan raya.
Lainlah
seperti Bersatu, tambah mereka, yang merupakan parti yang tiada akar umbi dan
tidak banyak cawangan, maka tiada keperluan bagi pemimpinnya turun ke bawah
untuk berkempen.
Kempen
boleh saja dilakukan melalui cara lain menggunakan program kerajaan, NGO atau
media sosial.
Selain
itu, ada pihak dalam Umno juga melihat larangan kempen itu sebagai strategi
halus untuk mendesak agar Umno akhirnya sedia bekerjasama dengan PN bagi
memastikan PH tidak berpeluang mencapai kemenangan.
Pada
waktu yang sama, PH juga turut tidak senang dengan larangan kempen yang
diumumkan Khairy Jamaluddin itu.
Sementara Ketua Penerangan PKR,
Shamsul Iskandar Mohd Akin menganggap larangan itu memperolok sistem demokrasi,
Lim Guan Eng pula sedang mengkaji untuk mencabarnya daripada sudut
undang-undang.
Daripada
satu sudut, oleh kerana banyak sektor ekonomi dan aktiviti sosial telah
dibenarkan seperti melancong, bermesyuarat, kenduri dan sebagainya, tambahan
lagi lebih 90 peratus rakyat sudah menerima vaksin, melarang aktiviti kempen
untuk pilihan raya ternampak seperti tidak masuk akal.
Jika begitu, apa gunanya vaksinasi?
Sepatutnya,
biarlah semua aktiviti kempen dibenarkan, yang penting SOP asas seperti menjaga
kebersihan, memastikan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka hendaklah
sentiasa dipatuhi.
Begitu pun, apa sebenarnya tujuan larangan kempen ini dikuatkuasakan?
Sepertimana
kita sedia maklum, kerjasama antara Umno dengan PN, walaupun terus menerus
diminta oleh Pas dan Bersatu, adalah sesuatu yang memang sukar untuk menjadi
kenyataan.
Terutama
disebabkan jurang perbezaan Umno dengan Bersatu itu terlalu dalam, malah
berliku-liku, mempertemukan titik tolak ansur antara kedua-duanya bukanlah
suatu perkara mudah.
Untuk
itu, kemungkinan paling besar di PRN Melaka ini ialah Umno dan Bersatu akan
berlaga sesama sendiri atas tiket BN serta PN dalam persaingan tiga penjuru
yang turut disertai PH.
Apabila
berlaku pertembungan itu, mereka yang paling susah hati ialah kelompok menteri
Umno yang diketahui sejak dulu berjiwa pro kepada Bersatu.
Kalau
mereka turun berkempen untuk Umno, bimbang nanti Bersatu akan berkecil hati dan
jika turun berkempen menolong Bersatu pula, ia sudah tentu melanggar disiplin
parti.
Lalu,
dengan adanya larangan turun berkempen secara terbuka yang diumumkan KJ itu,
selamatlah mereka dan mereka kini tidak perlu langsung turun berkempen baik
untuk Umno, mahu pun Bersatu.
Pada
waktu yang sama, disebabkan cawangan dan akar umbi Umno lebih kukuh berbanding
Bersatu, apa yang perlu dilakukan oleh parti itu dengan adanya larangan kempen
terbuka ini ialah memanfaatkan kekuatan itu sepenuhnya untuk mendekati lagi
semua kelompok pengundi.
Ia
boleh dilakukan melalui jentera media sosial tempatan yang mungkin sudah sedia
wujud di peringkat cawangan dan jika belum ada, masih ada masa untuk
mewujudkannya dengan menyenaraikan nama pengundi dalam daftar mereka.
Kemudian,
segala hal berkaitan kempen, termasuk serangan kepada pihak lawan dan menjawab
isu-isu yang berbangkit hendaklah menggunakan saluran tersebut sebaik-baiknya.
Bersatu
yang tidak banyak cawangan dan tiada akar umbi sudah tentu berdepan kesukaran
berkempen hingga ke bawah menggunakan media sosial, kecuali yang boleh
dilakukan ialah mewujudkan pusat-pusat serangan yang beroperasi di Kuala Lumpur
atau di bandar Melaka.
Namun,
sudah tentu keberkesanannya tidak menyeluruh atau mampu meresap ke bawah
berbanding apa yang digerakkan Umno melalui akar umbinya yang sudah sedia wujud
itu.
Pokoknya,
dengan adanya larangan kempen terbuka dan mengadakan majlis-majlis bertemu
pengundi ini lebih memberi kelebihan kepada Umno dan ia lagi meletakkan mereka
tidak perlu sama sekali bekerjasama dengan Bersatu, Pas atau PN.
Senang-senang
Bersatu akan ditinggalkan dalam gerak kerja kempen dan mendekati pengundi.
Paling-paling pun Pas yang ada sedikit akar umbi akan diperalat sepenuhnya oleh
Bersatu untuk berhadapan dengan Umno.
Secara
langsung dan tidak langsung, Umno kini sudah boleh tutup terus pintu rundingan
dengan PN.