PRN Melaka: Pemimpin PN kempen program kerajaan, pembangkang dikenakan 'larangan kempen'

 




Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka akan mempunyai dua Prosedur Operasi Piawai (SOP) berbeza sepanjang tempoh berkempen.


Ahli Parlimen Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH - Kulim Bandar Baharu) dalam sesi soalan tambahan di Dewan Rakyat bertanya kepada Menteri Undang-undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, adakah pemimpin kerajaan kelak akan dibenarkan berkempen dengan alasan program kementerian, sedangkan pembangkang tidak dibenar melakukannya.


"Di bawah Pelan Pemulihan Negara, Melaka diletakkan di bawah Fasa 4. Itu fakta. Apa yang boleh? Pasar dibuka, sekolah dibuka, aktiviti agamaan dibenarkan, sukan dibenar, seminar, bengkel, ceramah dibenarkan. Majlis rasmi kerajaan dibenarkan, aktiviti sosial dibenarkan. Ini semua bermaksud orang ramai akan berkumpul dan ada panduan, kena dapat dua suntikan, swab test, selesai.



"Kemudian berlaku PRN, SPR buat SOP, walkabout tak boleh, rumah ke rumah tak boleh. Jadi YB Menteri, mari kita berterus terang sama ada menteri boleh beri jaminan, bila kempen berlaku 11 hari nanti, apa kata Menteri Pertahanan pergi kem Sungai Udang untuk berkempen, askar di sana.



"Mengikut Fasa 4, tak salah rasmi majlis kerajaan, Menteri Perdagangan dalam negeri lancar kempen beli barangan buatan Malaysia, majlis rasmi kerajaan. SOP Pelan Pemulihan tak salah. SOP SPR salah atau tidak?" tanyanya dalam perbahasan sesi pagi.


Setiausaha Agung KEADILAN itu memohon, jika pemimpin kerajaan boleh berkempen secara tidak langsung, maka menteri perlu membenarkan pembangkang menganjurkan majlis penerangan isu-isu setempat pada waktu yang sama.


"Kemudian (apa kata) kami nak anjur seminar sempena Maulidur Rasul. Kami sampai, saya turun dan kita tak mahu double standard.

"Kerajaan pergi ikut SOP Majlis Keselamatan Negara, kami pergi SOP SPR. Ini akan menimbulkan kemarahan yang sukar dikawal. Ini saya nak beritahu awal-awal. Kalau boleh katakan boleh. Saya nak turun buat seminar isu semasa di Lendu. Dua hari saya nak buat program.


"Saya nak minta penjelasan yang tuntas dari YB menteri, boleh katakan boleh. Tidak, katakan tidak," katanya lagi.


Bagaimanapun, Wan Junaidi menjawab kerajaan tidak mengamalkan double standard


Katanya, SPR mahu demokrasi asalkan berpandukan Kementerian Kesihatan. Namun, beliau tidak boleh memberi jaminan kerana, katanya hal yang berlaku di Sabah dahulu, kerajaan buat SOP tetapi aktivis politik yang berkempen tidak boleh dikawal.

 

No comments: