Dewan Rakyat: Anwar Harap Usul Bahas Isu Petronas Jual Aset Gas Dipertimbang

 



Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap usul bagi membahaskan laporan bahawa Petronas telah menjual aset gas di Azerbaijan dengan nilai hampir RM10 bilion dipertimbangkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Mengikut salinan surat yang dihantar kepada Speaker, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengemukakan usul tersebut di bawah peraturan mesyuarat 18 (1) dan 18 (2).

“Saya telah mengemukakan suatu usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan 18 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat seperti berikut:

“Bahawa Dewan yang bersidang pada hari ini merundingkan laporan bahawa Petronas telah menjual aset gas di Azerbaijan dengan harga hampir RM10 bilion berikutan desakan kerajaan menaikkan bayaran dividen Petronas sebanyak RM25 bilion kepada kerajaan bagi tahun 2021,” katanya dalam kenyataan.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan menegaskan hal membabitkan syarikat minyak dan gas negara itu perlu dibahaskan secara teliti di Parlimen.

“Ini adalah perkara mendesak yang perlu perhatian dan perbahasan terperinci serta menyeluruh di Dewan Rakyat.

“Saya berharap usul ini mendapat pertimbangan sewajarnya dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” tegas Anwar lagi.

No comments: