SIRI 4 APA NASIB ANAK MUDA MALAYSIA SIRI 4





Apa nasib anak muda Malaysia?

Anak muda zaman sekarang menhadapi pelbagai cabaran besar dalam bidang politik, pengajian and perkerjaan



Terima kasih kepada penswastaan pendidikan tinggi, yang juga menyaksikan penubuhan universiti dan kolej perubatan, perundangan dan kejuruteraan secara swasta, ketegangan etnik kemudian dapat dikawal.

Namun, tidaklah pula penswastaan pendidikan tinggi tidak mengakibatkan permasalahan baru. Sudah pasti ianya wujud. Pertama, tampaknya kita mengeluarkan dan mengeluarkan terlalu ramai graduan hari ini. Kita bahkan tidak mampu untuk melantik secara tetap para doktor muda yang sekarang menjadi barisan hadapan Malaysia melawan Covid-19. Para doktor muda ini sekarang merancang untuk mengadakan mogok atau hartal.

Perbincangan tidak menyentuh tentang kualiti universiti kita – swasta dan awam – yang tarafnya, tidak dapat dinafikan, juga terkesan akibat hasil dari ‘pelambakan’ sistem pengajian kita yang berlaku pesat. Walaupun pada suatu ketika dulu, beberapa universiti awam kita cukup bergengsi jika dibandingkan dengan universiti serantau – dari Delhi ke Calcutta, ke Chulalongkorn dan Thammasart, di Singapura dan Hong Kong, ke Tokyo dan Kyoto, sehinggalah Seoul National serta Korea National Universities, hari ini, tidak ada satu pun dari 26 universiti awam serta 47 universiti dan kolej swasta kita dapat menandinginya. Ini, barangkali soal untuk waktu dan ketika yang lain pula.

Yang lebih ditanggapi dalam perbincangan ini, kesemua lima pembicara membahaskan tentang ketiadaan percubaan untuk menstruktur semula sistem pendidikan kita bagi memberi keutamaan kepada pendidikan teknikal dan vokasional. Ketika ini, stigma yang ditanggung oleh pendidikan vokasional berlaku – seperti yang melekat pada pengajian liberal (sains sosial dan kemanusian) yang ditanggapi tidak penting.

Keadaan di mana gaji mereka yang berpendidikan vokasional lebih rendah juga tidak dikaji. Azmil dan Wan Atikah, yang keduanya pernah tinggal di Jerman, berkongsi bagaimana, di negara itu, sektor pendidikan vokasional dan teknikal cukup dibangunkan dan dikongsi. Jadi, kebanyakan pelajar di Jerman yang tidak berkecenderungan akademik akan memilih pendidikan tinggi mereka di kolej teknikal dan vokasional. Kerana begitu ramai mekanik, tukang paip, chef, tukang elektrik, tukang bata dan kayu serta mereka yang lainnya dapat menerima gaji yang baik, serta ada juga yang gajinya lebih tinggi dari para graduan, ramai rakyat Jerman yang memilih untuk memasuki aliran pendidikan ini.

Ada juga yang menyebut tentang Dr Maszlee Malik, yang merupakan menteri pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan, juga bersungguh untuk menggubal dasar sistem pendidikan negara, termasuklah memperkemas sistem kolej teknikal dan vokasional. Malangnya, kudeta pintu belakang terjadi begitu laju.

Akhir sekali, kita turut membincangkan isu hutang PTPTN. Kesemua mereka, termasuklah Azmil, berpendapat bahawa perlu ada ‘pengampunan’ terhadap hutang PTPTN. Pinjaman yang diambil pelajar bagi memasuki universiti perlu dihapuskan atau dipotong. Secara minimumnya, sebuah moratorium perlu diberikan ketika ekonomi menguncup serta tempoh pandemik sekarang. Perkara yang cukup hangat ini turut dibincangkan sebelum pilihanraya 2018 dan PH juga berjanji untuk memperhalusinya.

Tidak kira siapa yang berkuasa, kerajaan patut memperhalusi hal ini dengan cepat, seperti yang dibincangkan pembicara kita. Apatah lagi, banyak negara juga menyediakan pendidikan secara percuma kepada warganya.

Menjangkau anak muda

Secara tidak langsung, webinar ini satu usaha selama sedekad yang lalu bagi melibatkan dan merekrut lebih ramai anak muda ke Aliran. Ianya bukanlah sebuah perkara yang baru; kami sendiri sedar bahawa umur purata anggota Aliran sendiri, termasuklah mereka yang di dalam jawatankuasa eksekutif, juga semakin meningkat, saatnya kita sendiri semakin berusia!

Jadi, kami menganjurkan diskusi dengan kelompok anak muda untuk memahami minat dan kecenderungan mereka, acara yang menarik bagi mereka, dan bagaimana kami ‘yang berumur’ ini dapat bekerja bersama yang muda bagi sebuah Malaysia yang lebih baik, contohnya dengan meremajakan Aliran dengan darah dan tenaga muda.

Exco termuda kami, John Fong, terlibat dengan Aliran dengan menulis kepada kami – ALIRAN

Antara isu yang dikemukakan anak muda ketika berdialog dengan mereka adalah bagaimana Aliran dapat meneruskan Aliran Monthly hampir 30 tahun dan kemudiannya, laman web Aliran: “Bagaimana kalian dapat menulis dan menulis selama itu?”

Faktanya, tidak semua anggota Aliran menulis; hanya segelintir yang melakukannya, dan kami menulis saat kami sangat ‘muda’, atau sekurangnya lebih muda dari sekarang. Dan kerana itu tampaknya kami seperti tidak pernah berhenti.

Mengambil kira komen ini dengan serius, kami memohon dana dari luar beberapa tahun lalu untuk menganjurkan bengkel dua hari penulisan anak muda, di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Ipoh. Tujuannya bagi membantu anak muda memahami politik dan masyarakat Malaysia dengan lebih baik dan memperkemas bakat menulis mereka. Untuk permulaan, kami menggalakkan mereka untuk menulis kepada kami. Ramai yang melakukannya. Kemudiannya, kami menganjurkan lebih banyak bengkel didanai kami sendiri.

Barangkali, kami perlu lebih banyak bengkel penulisan saatnya kita memasuki norma baharu. Mungkin menerusi beberapa siri webinar anak muda, dengan tema yang berlainan, sebagai sambungan kepada webinar ketiga ini.

Sebelum pilihanraya 2018, saya ada menulis sebuah karangan “The Youth will set us free”, yang memuji usaha beberapa anak muda mengacu perubahan dan pertukaran regim di Malaysia. Artikel itu merupakan respon kepada beberapa pengulas, termasuklah beberapa ahli akademik, yang secara tidak adil mengeneralisasi dan mengkritik anak muda di media arus perdana. Mereka menyalahkan anak muda kerana tidak daftar mengundi dan tidak menunjukkan minat kepada pengundian yang penting dengan menyoroti pendapat serta ciri beberapa individu muda yang cuba untuk memboikot pilihanraya. Saya berpendapat, sebaliknya, bukan anak muda yang bermasalah, merekalah sebahagian dari penyelesaian. Baca artikelnya di sini.

Terdapat beberapa poin yang diutarakan di sana yang mungkin dapat memperhalusi politik anak muda di Malaysia. Juga, sila semak artikel lain oleh seorang cendekia muda dan anggota Aliran, Haris Zuan, berjudul “Youth in the Politics of Transition in Malaysia” (M Weiss and Faisal Hazis eds, Towards a New Malaysia? The 2018 Election and its Aftermath, Singapore: NUS Press, 2020, pp 131-48). Selamat membaca.

Francis Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
7 Julai 2021

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

No comments: