Beri satu dos awal vaksin Covid 19: Akhirnya kerajaan PN setuju idea Anwar

 


Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kelmarin bersetuju untuk memberi satu dos awal vaksin Covid 19 kepada seluruh rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terjejas teruk akibat jangkitan pandemik sejak beberapa bulan lalu.



Menurut Pengerusi Biro Kesihatan KEADILAN Perak, Dr Ahmad Safwan Mohamad, tindakan tersebut yang digerakkan di bawah “Operation Surge Capacity” dan diumumkan kelmarin oleh Perdana Menteri Mahiaddin Yassin merupakan pengiktirafan kepada idea Presiden KEADILAN sejak Mac lalu, agar setiap seorang warganegara diberikan satu dos awal bagi melindungi dari jangkitan Covid dan bukannya melengkapkan dua dos sementara ramai yang lain terdedah kepada risiko hilang nyawa.



"Kami menyambut baik tindakan berkenaan selaras dengan saranan pakar-pakar berpandukan dapatan pemerhatian yang dibuat di beberapa negara termasuk United Kingdom. Ini akan dapat membantu mengurangkan dampak penularan Covid-19, sekaligus dapat membantu mengurangkan kepenatan di kalangan kakitangan hospital.



"Dalam keterujaan kita menyambut tindakan ini, jangan kita lupa bahawa saranan yang sama pernah diutarakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak bulan Mac 2021 lagi



"Malangnya, seperti biasa, pihak kerajaan gagal mengambil nasihat beliau dan pakar-pakar lain secara konstruktif demi kebaikan negara," kata Dr Ahmad dalam satu kenyataan.



Dr Ahmad Safwan Mohamad



Menurut beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Negeri Perak, dalam keadaan kritikal dan negara tertumpu ke arah menyelamatkan lebih banyak nyawa, isu Covid 19 tidak wajar dipolitikkan.



Katanya, sekiranya kerajaan PN tidak lagi mampu untuk meneruskan perang melawan Covid maka sebaik-baiknya mereka menyerahkan kerajaan kepada pihak lain yang lebih berwibawa.



"Kami mendesak pihak kerajaan agar hentikan permainan bertindak demi kepentingan politik dan fokuslah kepada pengurusan Covid-19 secara tuntas, dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuklah dari pihak pembangkang



"Juga pada saat ini, amat penting Parlimen kembali bersidang sepenuhnya dan isu berkaitan rakyat dibahaskan dengan sebaik-baiknya.



"Sekiranya kerajaan gagal menjamin ketelusan dan kejujuran itu, maka wajarlah Perdana Menteri mengundurkan diri demi kebaikan negara," katanya lagi.



Untuk ekod, di bawah “Operation Surge Capacity” seluruh warga negeri Selangor dan Kuala Lumpur berumur 18 tahun ke atas akan diberikan vaksin dos pertama bagi mengekang penularan Covid-19 dalam respons segera kepada peningkatan sekitar 5,000 kes jangkitan harian di negeri dan wilayah berkenaan dalam seminggu terakhir.

 


No comments: