KUALA LUMPUR – Upacara angkat sumpah Ahli
Senator Dewan Negara di Parlimen menarik minat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak.
Secara sinis, Najib berkata beliau baru mengetahui Parlimen
kawasan selamat daripada jangkitan Covid-19 setelah terdapat upacara angkat
sumpah senator hari ini.
“Rupanya bangunan Parlimen bukan zon
bahaya Covid-19. Kita tertipu selama tujuh bulan lalu,” katanya di Facebook
hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu merujuk kepada laporan media empat
senator iaitu Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin yang mengangkat
sumpah jawatan itu bagi penggal kedua.
Radzi dilantik kepada senator berkuat kuasa mulai 17 Julai lepas
hingga 16 Julai 2024.
Selain Radzi, Datuk John Ambrose, Datuk
Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee dan Datuk Bobbey Ah Fang Suan turut mengangkat
sumpah jawatan hari ini.
Kesemua mereka mengangkat sumpah sebagai senator pada majlis
yang berlangsung di Dewan Negara, Blok Utama Parlimen di hadapan Yang Dipertua
Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara akhirnya dibuka semula
untuk persidangan setelah kerajaan bersetuju untuk menasihati Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas
diadakan.
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dijadual 26
hingga 29 Julai dan 2 Ogos manakala Mesyuarat Khas Dewan Negara berlangsung
pada 3 hingga 5 Ogos.
Najib adalah antara ahli Parlimen yang keras mendesak agar
kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membuka semula sidang Parlimen.
Sebelum ini, Najib berkata kerajaan akan dikenakan “kad merah”
melainkan Parlimen dibuka semula secepat mungkin.
Ia bila mana ahli Parlimen kedua-dua belah pihak terus memberi
tekanan kepada PN supaya persidangan Dewan Rakyat diadakan segera.
Najib berkata gesaan itu bagi membolehkan Ordinan Darurat yang
sudah diwartakan kerajaan dalam tempoh darurat (termasuk pengisytiharan
darurat) dibahas, diundi dan diluluskan di Parlimen secepat mungkin. –
MalaysiaGazette