ZAHID HAMIDI JANGAN ULANGI KESILAPAN NAJIB

 

UMNO tidak akan kalah PRU14 lalu jika Najib Razak mengadakan pilihanraya lebih awal, misalnya pada penghujung 2016 atau bila-bila masa di tahun 2017.

Tetapi, disebabkan Najib melewatkan PRU14 sehingga Mei 2018 iaitu betul-betul genap lima tahun setelah PRU13 diadakan pada April 2013, itulah yang menjadi punca kekalahan UMNO dan BN.

Dengan Najib menunda tarikh PRU14 sehingga Mei 2018, tidak mengadakannya lebih awal, bukan saja kemarahan rakyat kepada beliau dan UMNO kian memuncak, malah ia juga memberi ruang kepada PH yang dipengerusikan Tun Mahathir Mohamad ketika itu untuk menyelesaikan beberapa isu seperti pengagihan kerusi, penggunaan logo, calon Perdana Menteri dan sebagainya.

Dengan masa yang lebih panjang diberikan itu juga, Tun Mahathir dan PH mempunyai banyak waktu untuk menjelajah ke seluruh negara bertemu rakyat, meski dalam keadaan pelbagai kemudahan diterimanya selaku bekas Perdana Menteri telah ditarik balik.

Kiranya Najib tidak menunggu sehingga Mei 2018 untuk membubarkan Parlimen, peluang untuk UMNO dan BN dapat dikalahkan adalah tersangat tipis.

Realitinya, UMNO dan BN dikalahkan ketika ia sedang berkuasa dan sewaktu semua kuasa terkumpul dalam kepungan Najib, suatu keadaan yang sebenarnya sukar bagi PH sebagai pembangkang ketika itu.

Kunci kekalahan itu hanya satu – Najib lambat membubarkan Parlimen dan tidak cepat mengambil peluang di ketika PH belum begitu kemas persiapannya.

Beberapa pemimpin PH, selepas kemenangan dalam PRU14 itu, tidak berselindung mengakui, mereka tidak mungkin menang jika pengundian lebih diadakan lebih awal daripada Mei 2018.

Hari ini, walaupun merupakan sebahagian daripada kerajaan, namun ia bukan lagi tunjang kuasa dalam pemerintahan.

UMNO sebaliknya hanya sebagai penumpang dengan pemegang stereng kuasa ialah Mahiaddin Md Yasin daripada Bersatu.

Begitu pun, suatu kelebihan yang ada pada UMNO ketika ini, meskipun ia hanya penumpang yang sudah acapkali tidak puas hati dengan kerajaan, ia berada dalam kedudukan yang boleh untuk menumbangkan kerajaan pada bila-bila masa dimahukan berbuat demikian.

Bila-bila masa saja jika UMNO mengumumkan menarik sokongan dan keluar daripada kerajaan, maka tumbanglah PN dan berakhirlah juga kekuasaan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri.

Namun, seperti yang kita sedia maklum, sementara UMNO sentiasa ada perasaan tidak puas hati dan ingin kembali berkuasa penuh sebagai parti yang dominan serta enggan selama-lamanya berkedudukan sebagai penumpang, parti itu masih mewarisi apa yang dilakukan Najib sebelum PRU14 lalu iaitu lambat dan terhegeh-hegeh dalam bertindak.

Memutuskan hubungan dengan Bersatu sudah dan membuat ketetapan menarik sokongan kepada Mahiaddin selaku Perdana Menteri juga sudah dimuktamadkan, tetapi UMNO nampaknya masih tiada keberanian untuk keluar daripada kerajaan.

Ikut logik dan hukum dalam cerai-berai, kalau sudah memuktamadkan kata mahu berpisah, tentulah tidak mahu lagi tinggal serumah.

Namun, pelik lagi ajaib, sementara tidak lagi menyokong Mahiaddin, UMNO masih mahu berada dalam kerajaan yang dipimpin oleh pemimpin yang tidak lagi disokongnya itu, bahkan macam kemaruk pula bila ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Dengan sekadar menarik sokongan yang disertai dengan gesaan agar Mahiaddin harus berundur, tetapi tidak keluar meninggalkan rumah bersama kain baju dan pakaian, Perdana Menteri bukan saja tidak jatuh, malah seperti diberi lebih banyak masa untuk berfikir dan mencari jalan bagi mengekalkan lagi kuasa dalam tangannya.

Kalau diperhatikan, situasi ini tidak banyak berbeza dengan keadaan ketika Najib mahu dijatuhkan pada Mei 2018 lalu, beliau sedar sedang diusaha untuk dijatuhkan, namun memberi banyak ruang dan peluang kepada musuhnya mengukuhkan kedudukan.

Sekarang pula, UMNO mahu menjatuhkan Mahiaddin dan menukar Perdana Menteri, tetapi dalam masa yang sama terus memberi banyak masa kepadanya untuk kekal berkuasa.

Dalam keadaan sekarang, jika sungguh mahu menjatuhkan Mahiaddin, UMNO bukan saja harus serta-merta menarik sokongan, malah serta-merta juga membuat keputusan keluar daripada kerajaan.

Lagi banyak masa diberi kepada Mahiaddin atau jika UMNO terus bertangguh-tangguh untuk menjatuhkan musuh, ia sama saja seperti Najib melewat-lewatkan pembubaran Parlimen pada 2018 dahulu.

Lihat saja sebelum ini bagaimana Mahiaddin sedikit demi sedikit dapat mengkucar-kacirkan UMNO, satu demi satu dan berterusan hingga yang terakhir berjaya memerangkap parti itu dengan melantik Timbalan Perdana Menteri, bermakna lagi banyak masa diberi, lagi banyak peluang untuk Perdana Menteri merancang pelbagai perkara demi kepentingan kuasanya.

Sepatutnya di peringkat ini UMNO sudah sedar bahawa melewat-lewatkan lagi masa untuk menjatuhkan Mahiaddin adalah suatu kerugian buat mereka.

Kalau Najib yang sedang berkuasa pun boleh tergolek kerana melengahkan masa dan lambat mengadakan pilihanraya, Zahid Hamidi juga pasti menempah nasib yang sama jika terus bermain-main dengan masa.


 (ShahbudinHusin 18/07/2021)