Masukkan usul supaya MP boleh berbahas, usah salah tafsir titah Agong

 


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak bermaksud sidang Parlimen pada 26 Julai dibenarkan untuk berbahas.



Beliau merujuk kepada pemakluman Setiausaha Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa sidang khas kali ini hanya akan ada ‘penerangan daripada Menteri-Menteri’.



"Tapi ‘meminta penjelasan dan memberi pandangan’ dibenarkan. Bunyi macam okay, kan? Tapi sebenarnya tidak.



"Setiausaha Dewan Rakyat dengan jelas merujuk Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) di mana Dewan Rakyat hanya akan mendengar penerangan oleh menteri. Tiada perbahasan sebenar dan tiada diputuskan apa-apa.



"Ini bermaksud, kerajaan tidak mahu mendapatkan keabsahan Dewan Rakyat untuk Pelan Pemulihan Negara dan lain-lain perkara yang hanya akan ‘diterangkan Menteri-Menteri’.



"Seperti yang saya sebut sebelum ini, kalau hanya setakat nak bagi penerangan, lebih baik buat FB Live atau hantar link Youtube. Atau kalau nak, Menteri boleh buat Twitter Spaces atau Clubhouse. Atau hantar je pdf kepada Ahli-Ahli Parlimen melalui WhatsApp," katanya.



Sebaliknya, Fahmi meminta kerajaan supaya memasukkan usul supaya ia dapat dibahas bersama-sama semua Ahli Parlimen nanti.



"Hari ini, Takiyuddin kata boleh bahas. Tapi apa yang beliau dan kerajaan patut buat ialah masukkan satu usul untuk bahas dan putuskan Pelan Pemulihan Negara, Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat dan lain-lain perkara yang berkait dengan kebajikan rakyat dan menghidupkan semula ekonomi.



"Kita dah pernah buat dulu, dengan usul untuk bahas Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (18.10.2018) dan Laporan SUHAKAM (5.12.2019), contohnya.



"Bila usul diluluskan, maka tindakan ada keabsahan. Jadi, tak payah Takiyuddin beretorik. Cakap pasal Stalingrad dan Hitler bagai. Cukuplah alihkan tiang gol.



"Janganlah terus ‘mentafsir’ titah pandangan Tuanku hingga hilang maksud sebenar.



"Masukkan usul supaya kita boleh bahas betul-betul dan putuskan langkah terbaik untuk rakyat dan negara," katanya.

 


No comments: