KEBERKATAN HARI ARAFAH.

 


JAMZURI ARDANI



May be an image of 1 person, monument and text that says "o Allah, Please help me and make it easy for me to draw closer to you in the Day of ARAFAH"






HARI INI  adalah Hari Arafah. Eloklah juga kiranya kita dapat memahami keberkatan Hari Arafah;

- Ia adalah hari di mana Allah menurunkan satu ayat yang sangat penting di dalam Al-Quran, iaitu “Pada hari ini Aku sempurnakan agama kamu, dan Aku telah cukupkankan nikmatKu ke atas kamu, dan Aku telah redha Islam itu agama kamu,” - Al-Maidah:3. Seorang Pendita Yahudi dilapurkan pernah berkata kepada Umar Al-Khattab RA, “Sekiranya ayat ini diturunkan kepada kami, nescaya kami akan mengambil hari ianya diturunkan sebagai Hari Kebesaran buat kami”.

- Allah bersumpah menjadikannya sebagai “Hari Kesaksian”. Ketika menafsirkan ayat Al Buruj ayat 3 ‘وَشَاهِدٍ وَّمَشۡهُوۡدٍؕ (Demi yang menyaksikan dan yang disaksikan), Ibn Abbas berkata, “Adapun Syaahid adalah Hari Jumaat, manakala Masyhuud adalah Hari Arafah”. Maknanya, hari Jumaat akan menjadi saksi di hadapan Allah bagi mereka yang mengerjakan solat Jumaat, manakala Allah dan para malaikat pula menjadi saksi bagi hamba-hambaNya pada Hari Arafah.

- Nabi SAW bersabda, “Haji adalah Arafah” [HR Ahmad, Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, & Ibn Majah). Ia sudah cukup menjelaskan betapa pentingnya Hari Arafah yang menjadi intipati kepada seluruh ibadah haji itu sendiri.

- Berpuasa pada Hari Arafah boleh menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Nabi SAW bersabda apabila ditanya berkenaan berpuasa pada Hari Arafah, "Diampunkan dosa setahun lalu dan setahun akan datang." [HR Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi]. Berpuasa satu hari bagi mendapat keampunan untuk dua tahun. Pastinya tiada hari lain yang sebaik Hari Arafah.

- Hari Arafah adalah hari pengampunan dari Allah di mana manusia diselamatkan dari api neraka. Di dalam satu hadith Nabi SAW bersabda, “Tidak ada satu hari lain yang mana Allah membebaskan lebih ramai hamba-hambaNya dari api neraka (mengampunkan dosa-dosa mereka) melainkan pada Hari Arafah” [HR Muslim].

- Hari Arafah adalah hari yang mana Syaitan merasa terhina dan kecewa kerana melihat banyaknya rahmat dan pengampunan dari Allah ke atas manusia. Cukuplah dengan penjelasan dari sabda Nabi SAW, “Hari yang paling baik dalam satu tahun ialah Hari Arafah”. [HR Ibn Hibban]

Ambillah manfaat sebaiknya dari Hari Arafat bersama keberkatan dan keampunan yang ada padanya. Semoga Allah menjadikan kita semua di kalangan hamba-hambaNya yang sholeh.