**************
Kluster menteri' buat keputusan songsang - ahli MT Umno
17 Jul 2021, 9:15 pm
Umno perlu tegas mempertahankan pendirian parti itu meskipun
hanya tinggal tiga orang saja yang sanggup berbuat demikian, kata Mohd Puad
Zarkashi.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata, ketika ini ada
pemimpin parti itu yang sanggup menjadi "power broker" yang
didakwanya mahu menjual parti dengan berunding tanpa restu presiden.
Begitu juga katanya berkenaan tindakan menteri Umno yang tidak
mengikut keputusan parti agar menarik sokongan daripada Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin.
Semua tindakan itu, kata Mohd Puad, digerakkan oleh keinginan
mereka mahu mengekalkan jawatan yang ada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN)
sekarang.
“Terbaru, MT putuskan untuk menarik balik sokongan kepada
perdana menteri. Tetapi ‘kluster menteri’ pula buat keputusan songsang. Mereka
sokong perdana menteri.
“Rakyat dijadikan alasan. Pandemik dijadikan alasan. Perpecahan
Melayu dijadikan alasan dan peruntukan kawasan juga jadi alasan,” katanya dalam
satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Pada 8 Julai lalu, Umno menggesa Muhyiddin berundur daripada
jawatannya selepas MT parti itu membuat keputusan untuk menarik sokongan
terhadap presiden Bersatu itu.
Keputusan itu diumumkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selepas
mesyuarat MT Umno yang berlangsung secara dalam talian.
Katanya keputusan itu dibuat berpandukan tujuh kegagalan
kerajaan PN sebelum ini.
Mohd Puad berkata ketika ini Umno dilihat semakin berpecah
dengan banyak keputusan kepimpinan parti ditentang dan tidak dipatuhi oleh
ahlinya sendiri.
Oleh itu dia menggesa kepimpinan Umno supaya tegas menghentikan
gejala tidak sihat yang sedang melanda parti sekarang ini.
“Umno perlu tegas. Tinggal 10, sepuluhlah. Tinggal tiga,
tigalah," katanya sambil memetik nama Umno Sabah sebagai contoh
terbaik
bagi menunjukkan ketehasan parti.
Jelasnya, seramai 21 ketua Umno Sabah meninggalkan parti selepas
BN gagal mendapat mandat untuk menjadi kerajaan semula pada PRU 2018.
Ketika itu kata Mohd Puad, hanya tiga pemimpin Umno yang tinggal
iaitu Bung Moktar Radin; Raime Unggi; dan Yakub Khan.
“Mereka yang lari itu bukan kecil anak. Sembilan ahli dewan
undangan negeri (Adun), lima ahli parlimen dan dua senator. Bukan calang
calang. Umno umpama habis madu sepah dibuang.
“Tetapi adakah Umno Sabah tersungkur? Ahli dan pemimpin bawahan
tidak lari. Timbalan, naib, ketua wanita dan ketua pemuda tampil menggalas
tugas ketua bahagian yang lari,” katanya lagi.