Saya memang mendoakan mahkamah berpihak kepada 10 pengundi Gombak – Maximus

 

 Wartawan MalaysiaGazette

 -

 5 July 2021


maximus-ongkili

Maximus Ongkili

KUALA LUMPUR – Parti Bersatu Sabah (PBS) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membatalkan tuntutan 10 pengundi Gombak.

Presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai ‘keadilan telah kembali’.

Tanpa berselindung, Maximus dalam kenyataannya berkata, parti itu memang mendoakan mahkamah berpihak kepada pengundi-pengundi Gombak.

”PBS telah bersuara sejak penubuhan parti itu 36 tahun yang lalu terhadap tindakan pengkhianatan yang tidak berprinsip oleh wakil rakyat oleh parti yang melompat tanpa merujuk kepada undi,” tegasnya yang turut menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi sebagai pemecah jalan buntu terhadap lompat parti.

Malah, kata beliau, keputusan tersebut kembali memulihkan martabat proses Parlimen.

“Bukan hanya pemimpin yang terpilih, mana-mana penjawat awam mesti bertanggungjawab atas tindakan kita, terutama hasil dan kesan yang timbul daripada kepercayaan yang diberikan oleh para pengundi.

“Seperti yang diputuskan oleh mahkamah ke atas kes tersebut, wakil-wakil yang terpilih memiliki tugas fidusiari kepada pengundi mereka. Tugas fidusiari ini berdasarkan kepercayaan. Dan kepercayaan ini seharusnya diperoleh, tidak dipinjam, tidak dibeli atau diperdagangkan,” kata beliau.

Maximus, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perhubungan Sabah dan Sarawak) percaya rakyat secara umum mahu keputusan Mahkamah Tinggi itu dijadikan standard baharu dalam tingkah laku wakil rakyat dan kualiti perkhidmatan mereka.

“Kualiti akan wujud melalui amalan prinsip dan warisan politik yang mantap.

”Pada bulan Jun 1995, dalam ucapan saya di Parlimen dan menumpukan banyak masa terhadap peristiwa kejatuhan pemerintahan PBS yang dipilih pada tahun 1994, hanya setelah lima minggu berkuasa disebabkan katak politik.

“Ia memang peristiwa politik yang dahsyat di Sabah – sebuah kerajaan dipilih tapi tiba-tiba boleh runtuh kerana politik yang tidak berprinsip politik oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih dan dilantik,” tambah Ahli Parlimen Kota Marudu itu.

PBS runtuh kerana daripada lapan ADUN, termasuk enam dicalonkan, tetapi dalam 10 hari selepas kejatuhan, PBS hanya mempunyai lima ADUN.

Disebabkan itu, dalam ucapan sulungnya, Maximus meminta Parlimen memperkenalkan undang-undang baharu yang akan melarang ‘katak politik’.

“PBS berpandangan hingga hari ini, Parlimen boleh menjadikan ‘katak politik’ ini tidak sah bagi seorang anggota Parlimen atau ADUN yang terpilih untuk melompat parti tanpa terlebih dahulu kembali kepada pengundi untuk pilihan raya kecil.

“Saya pertahankan bahawa pendekatan ini perlu dilakukan untuk mengembalikan martabat Parlimen atau DUN dan meningkatkan taraf Parlimen Malaysia.

“Sayangnya praktik melompat parti terus berlarutan sehingga hari ini,” katanya.

Lantaran itu, Maximus menghormati keputusan Mahkamah Tinggi terhadap 10 pengundi Gombak.

Jelasnya, melompat katak politik adalah fidusiari yang tidak adil dan tidak dapat dimaafkan, katanya. 

 

No comments: