Ahli Parlimen Umno akui tandatangan SD sokong Anwar jadi PM

 

Ahli Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris berkata, beliau menyokong idea mencadangkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri setelah melihat kerajaan pimpinan PH dan PN gagal.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris dari Umno, mengakui beliau menandatangani akuan bersumpah (SD) yang menyokong Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Memetik laporan Mingguan Malaysia, Ahmad Nazlan berkata, beliau bersetuju dengan cadangan penubuhan kerajaan baharu itu kerana pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah Dr Mahathir Mohamad sebelum ini telah gagal.

Malah kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Muhyiddin Yassin juga dilihat tidak berjaya membawa rakyat keluar daripada wabak Covid-19, katanya.

“Jadi, apabila ada idea mencadangkan Anwar sebagai Perdana Menteri, saya bersetuju.

“Masih ada dua tahun yang boleh kita cuba, kita dah merasai 22 bulan di bawah PH, berbelas bulan dengan PN dan kita rasa pulalah kerajaan baharu, mungkin kerajaan baharu itu nanti lebih berwajah baharu,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Nazlan dilaporkan tidak mendedahkan berapa ramai Ahli Parlimen Umno yang memberikan sokongan kepada Anwar.

SD berkenaan adalah yang kedua ditandatanganinya selepas yang pertama menyokong Menteri Luar Hishammuddin Hussein untuk diangkat sebagai Perdana Menteri interim jika Majlis Raja-Raja menubuhkan kerajaan sementara.

Beliau juga berpendapat, tindakan menyokong Presiden PKR itu tidak salah berdasarkan pertimbangan semasa.

“Apabila diminta membuat pilihan dan pertimbangan, pada saya tidak salah kerana kerajaan hari ini belum berjaya pada hemat saya, jadi baik kita beri peluang kepada kerajaan baharu,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan memanggil semua Ahli Parlimen dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu secara berperingkat untuk menentukan tempoh sesuai bagi menarik sokongan daripada PN.

No comments: