Henti siasat kempen bendera hitam, gesa Ahli Parlimen kepada KPN

 

Gambar ‘bendera hitam’ yang ditemui di media sosial (Gambar Twitter @Muhammad_Alias)

PETALING JAYA: Dua Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) mendesak Ketua Polis Negara (KPN) supaya menghentikan siasatan terhadap kempen bendera hitam kerana pergerakan itu tidak menyalahi undang-undang.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran berkata, polis sepatutnya memberi tumpuan kepada kes jenayah dan rasuah berbanding kempen berkenaan yang juga merupakan suara rakyat bagi meluahkan rasa kecewa dan kurang senang terhadap Putrajaya.

Dalam satu kenyataan, bekas menteri itu berkata, kerajaan bertanggungjawab mendengar dan memberi maklum balas terhadap suara rakyat yang menyuarakan penderitaan serta rungutan mereka.

“Adakah Ketua Polis Negara akan mengarahkan pasukan polis memberi fokus terhadap isu lebih relevan dan membiarkan sahaja proses demokrasi berjalan secara sah? Bendera putih atau hitam, ia menunjukkan satu tindakan demokrasi yang kuat.

“Amat penting untuk polis membezakan antara rungutan orang ramai yang sah dalam konteks semasa berbanding ancaman sebenar terhadap keselamatan negara seperti memanipulasi isu perkauman dan agama oleh ahli politik dan tentera siber di media sosial,” katanya.

Kempen bendera hitam membuat tiga tuntutan, iaitu mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, memanggil Parlimen bersidang semula dan menamatkan arahan berkurung.

Sehingga petang Sabtu, lebih 34,000 ciapan dibuat di Twitter dengan tanda pagar #bendarahitam.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, polis menyiasat kempen itu kerana berbaur hasutan, menyebabkan kerosakan awam dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian untuk tujuan menyerang.

Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah membidas siasatan itu sebagai “mengarut” sekali gus mendesak KPN tidak membiarkan pasukan itu digunakan sebagai alat politik.

“Tidak ada yang melanggar undang-undang pun mengenai tindakan mendesak perdana menteri meletak jawatan, memanggil Parlimen bersidang semula dan menamatkan arahan berkurung serta menggunakan bendera hitam untuk menyuarakan pandangan,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

No comments: