Umno tarik sokongan tak jejas kedudukan PM, kata Sri Ram

 

Ada cakap-cakap mengatakan ramai Ahli Parlimen Umno antara 114 yang dipercayai menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebarang percubaan oleh parti politik dalam gabungan kerajaan yang memerintah untuk menarik sokongan terhadap perdana menteri tidak relevan dengan Perlembagaan, kata bekas hakim.

Gopal Sri Ram berkata, pertimbangan paling penting ialah sama ada perdana menteri mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, Artikel 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri daripada kalangan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang pada pertimbangannya mempunyai sokongan majoriti.

Parti politik tidak relevan dengan Perlembagaan kerana ada kemungkinan lebih daripada 112 calon bebas dipilih ke Dewan Rakyat,” katanya.

Dalam kes itu, Sri Ram berkata, Ahli Parlimen bebas perlu berkumpul dan mencalonkan seseorang untuk dilantik oleh Agong sebagai perdana menteri.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata, cara terbaik untuk menentukan nasib dan kedudukan perdana menteri adalah melalui undian di Dewan Rakyat.

“Sekiranya beliau tidak mempunyai sokongan majoriti, perdana menteri perlu memohon supaya Parlimen dibubarkan dan meletakkan jawatan,” katanya.

Sri Ram mengulas laporan bahawa Umno merancang untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Adalah difahamkan ketika ini Muhyiddin mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 114 Ahli Parlimen dengan 37 daripadanya adalah Ahli Parlimen Umno.

Muhyiddin memerlukan sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen kerana Dewan Rakyat hanya mempunyai 220 ahli. Ada dua kekosongan susulan kematian Ahli Parlimen Gerik dan Batu Sapi tahun lalu. Kerajaan mengisytiharkan darurat di kedua-dua daerah mengakibatkan pilihan raya kecil tidak diadakan susulan pandemik Covid-19.

Dilaporkan, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan serta setiausaha agung parti, Ahmad Maslan telah memanggil 10 Ahli Parlimen untuk mengadakan pertemuan.

Menurut Utusan Malaysia, Zahid dan Mohamad merancang mengemukakan usul kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bagi menarik balik sokongan kepada kerajaan “dalam masa terdekat”.

Jumaat lalu, FMT melaporkan bahawa majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno bersetuju untuk menarik sokongan kepada kerajaan PN sebelum 1 Ogos.

Sementara itu, seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno yang enggan dinamakan berkata, Zahid dan Majlis Kerja Tertinggi akan mempertimbangkan keadaan semasa negara dan keadaan rakyat ketika memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada PN.

No comments: