BERBANDING BERSATU, AHLI2 PARLIMEN YANG BERKUMPUL DI JLN BELLAMY JAUH LEBIH BAHAYA KEPADA MASA DEPAN UMNO

 

Perhimpunan Agung UMNO atau PAU2020 pada Mac lalu telah memuktamadkan ketetapan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang.

Ia sekaligus bermakna UMNO tidak akan bersama dengan PN, walaupun ketika ini mereka merupakan sebahagian daripada kerajaan PN.

Dalam waktu yang sama, PAU2020 juga telah memberi mandat kepada Presiden dan MT bagi menentukan waktu yang sesuai untuk UMNO keluar dan meninggalkan kerajaan PN yang kini dipimpin Perdana Menteri paling gagal, Mahiaddin Md. Yassin.

Memberi mandat kepada Presiden dan MT menentukan waktu yang sesuai itu, antara sebabnya ialah kerana wabak Covid19 yang masih belum reda serta ketidaktentukan bila akan berakhirnya perlaksanaan PKP.

Ketika perkara itu diumumkan, perwakilan PAU2020 dengan gembiranya telah bertepuk tangan dan sebahagiannya pula berdiri sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden dan MT untuk membuat ketetapan tarikh yang sesuai itu.

Perkembangan berikutnya kemudian menyaksikan Biro Politik UMNO memberi kata dua selama 14 hari kepada kerajaan PN dan Mahiaddin agar segera mengadakan Sidang Parlimen yang sehingga dititahkan untuk diadakan sebanyak tiga kali oleh Yang Dipertuan Agong.

Sebagai parti yang antara tujuan utama perjuangannya ialah mempertahan dan mendukung kemuliaan Raja-Raja Melayu, UMNO menganggap tindakan kerajaan PN melengah-lengahkan dan sebelum itu berdalih dengan pelbagai alasan daripada mematuhi titah Agong adalah suatu penderhakaan yang nyata.

Tempoh kata dua 14 hari bermula 21 Jun itu telah berakhir semalam, 4 Julai.

UMNO bagaimanapun dilihat menangguhkan buat sementara waktu sebarang tindakan susulan terhadap kerajaan PN berikutan pada 1 Julai lalu, Takiyuddin

Hassan tampil memberi jaminan Sidang Parlimen bakal diadakan sebelum 1 Ogos.

Begitu pun, katanya, tarikh muktamad Sidang Parlimen itu akan diputuskan dalam mesyuarat kabinet Rabu ini.

Namun kemasukan Mahiaddin untuk menerima rawatan di hospital secara tiba-tiba akibat cirit-birit sejak Rabu lalu segera menimbulkan kebimbangan sama ada tarikh Sidang Parlimen yang dijanjikan itu akan benar-benar menjadi kenyataan atau sebaliknya.

Ini kerana, sehingga hari ini beliau dilaporkan masih perlu menerima rawatan susulan untuk beberapa hari lagi akibat masalah pencernaan yang dihadapinya.

Kebimbangan utama kini ialah kiranya keberadaannya di wad hospital akan berlarutan sehingga melepasi hari Rabu dan dengan itu, mesyuarat kabinet sekali lagi perlu ditangguhkan.

Apabila sekali lagi mesyuarat kabinet ditangguhkan, sudah tentu penentuan tarikh Sidang Parlimen akan terus tertunda.

Berikutan sikap berlengah-lengah Mahiaddin itu, Presiden UMNO dilaporkan mula menggerakkan usaha untuk mendapat sokongan MT agar UMNO menarik diri daripada kerajaan PN menjelang 1 Ogos depan.

Secara jelasnya, apa yang cuba digerakkan oleh Zahid Hamidi itu adalah bertepatan dengan mandat PAU2020 yang telah diberikan kepadanya dan MT, selain tidak mahu lagi melihat titah Agong dan kemuliaan Raja-Raja Melayu seolah-olah diperkotak-katikkan secara berterusan oleh kerajaan yang UMNO turut ada di dalamnya.

Malangnya, usaha murni yang cuba dilakukan Zahid Hamidi itu mendapat tentangan daripada sebilangan Ahli Parlimen UMNO yang sedang seronok menikmati habuan serta kedudukan dalam kerajaan, meski hakikatnya parti kalah perang pada PRU14 lalu.

Antara penentang-penentang itu ialah mereka yang berada di dalam MT UMNO sendiri.

Mereka dilaporkan berkumpul di rumah seorang menteri kabinet di Jalan Bellamy pada malam 2 Julai lalu untuk menghalang sebarang cubaan oleh MT untuk membawa UMNO keluar daripada kerajaan PN.

Dalam erti kata lain, dengan cuba menghalang UMNO daripada meninggalkan kerajaan PN, ia juga bermaksud Ahli-Ahli Parlimen UMNO tersebut mahu terus menyokong Bersatu, Mahiaddin dan PN.

Dalam hal ini, meskipun ketetapan UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu dan PN yang dimuktamadkan oleh PAU2020 itu adalah untuk menghadapi PRU15, tetapi dalam waktu yang sama, mandat turut diberikan kepada Presiden dan MT untuk menentukan waktu yang sesuai meninggalkan kerajaan.

Dengan apa yang berlaku sekarang, selain Bersatu dan PN telah dimuktamadkan oleh PAU2020 sebagai musuh yang perlu dilawan dalam PRU akan datang, nampaknya turut muncul ialah musuh baru daripada kalangan Ahli Parlimen dan ahli MT UMNO sendiri.

Antara mereka ini dengan Bersatu, Mahiaddin dan PN, susahkah untuk 3.4 juta ahli menilai yang mana lebih bahaya kepada masa depan UMNO? 


(ShahbudinHusin 05/07/2021)


No comments: