UNTUK ELAK ‘UMNO FOR SALE’, ZAHID HAMIDI KINI WAJAR UBAH FIKIRAN DAN TANGGUH PEMILIHAN PARTI

 

Walaupun Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi pernah berjanji tidak akan menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan tahun ini, perkembangan terbaru kebelakangan ini memperlihatkan beliau perlu membuat pusingan U dan mengubah fikirannya.

Desakan demi desakan oleh kalangan kluster menteri yang muncul satu demi untuk menggesa pemilihan disegerakan adalah isyarat bahaya kepada masa depan UMNO.

Mengubah fikiran dan menangguhkan pemilihan selama 18 bulan sebagaimana peruntukan perlembagaan sehingga PRU15 diadakan terlebih dahulu, berdasarkan situasi semasa merupakan satu-satunya pilihan untuk menyelamatkan maruah dan masa depan parti.

Langkah ini bukan soal untuk menyelamatkan kedudukan Zahid Hamidi atau beliau takut dengan pertandingan, tetapi untuk mengelakkan UMNO dijual atau jadi “for sale” akhirnya.

Sebagai Presiden UMNO, Zahid Hamidi dalam hal ini lebih mempunyai tanggungjawab moral untuk mempertahankan mandat PAU2020 iaitu ketetapan putus hubungan dengan Bersatu daripada memikirkan kedudukan dirinya atau melayan tuntutan pemimpin kluster menteri yang difahami ada agenda tersembunyi di sebaliknya.

Jika diadakan pemilihan, sementara Zahid Hamidi dipercayai akan mempertahankan jawatannya, UMNO lebih mungkin menjadi sangat berpecah selepas itu, tidak kira siapa pun yang menang jadi Presiden UMNO.

Kalau Zahid Hamidi menang, kluster menteri yang kalah berkemungkinan akan melompat atau ditawarkan melompat kepada Bersatu sebagai jaminan ada peluang untuk bertanding dalam PRU15 dan akhirnya UMNO akan jadi berpecah.

Kiranya pemimpin kluster menteri pula memenangi pertandingan, selain kumpulan Zahid Hamidi yang tewas bersama beberapa pemimpin kluster mahkamah akan dipencilkan atas alasan kes mereka belum selesai, walau hakikatnya belum lagi dijatuhkan hukuman, UMNO tetap berpecah juga sudahnya.

Lebih buruk lagi perpecahan akan melanda jika pemimpin baru daripada kluster menteri yang memimpin parti membuat pusingan U ke arah mahu membawa UMNO bekerjasama dengan Bersatu dan terus menyokong Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.


Pokoknya, jika pemilihan diadakan sebelum PRU15, apa pun hasil pemilihannya itu nanti, UMNO tetap akan berantakan dan berpecah.

Lagi pula, PAU2020 baru diadakan pada hujung Mac, takkan bulan sudah mahu diadakan PAU2021 beserta pemilihan parti?

Yang nyata, tindakan berterusan pemimpin kluster menteri mendesak pemilihan disegerakan selepas PAU2020 memuktamadkan ketetapan putus hubungan dengan Bersatu dan UMNO diputuskan meninggalkan kerajaan PN menjelang 1 Ogos, tidak lain memperlihatkan mereka ingin menyelamatkan kedudukan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri.

Mengapa sebelum ketetapan putus hubungan itu dimuktamadkan, tidak ada yang berbunyi mahu pemilihan disegerakan?

Kalau mereka bersetuju dengan ketetapan PAU2020 dan tiada niat menunjukkan lebih sayang kepada Mahiaddin, apa salahnya disokong kepimpinan UMNO sedia ada bagi menghadapi PRU15?

Soal UMNO kononnya tiada calon Perdana Menteri jika pemilihan tidak disegerakan, ini adalah hujah karut semata-mata.

Jika pun Presiden UMNO, Zahid Hamidi tidak sesuai dinamakan sebagai calon Perdana Menteri kerana kes mahkamahnya belum selesai, bukankah masih ada Timbalan Presiden, Mohamad Hasan dan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah untuk dijadikan pilihan?

Selain itu, pemimpin yang sedia ada dalam hireaki kepimpinan UMNO seperti Naib Presiden, Ketua Pemuda dan beberapa ahli MT juga boleh dnamakan sebagai calon Perdana Menteri?

Jadi, mengapa mesti pemilihan UMNO disegerakan?

Dengan pemilihan segera diadakan, ia difahami lebih bertujuan agar terbuka peluang kepada pemimpin daripada kluster menteri untuk mengetuai UMNO, seterusnya mereka berupaya mengubah ketetapan PAU2020 yang telah memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu.

Kluster menteri dalam UMNO, kiranya memimpin UMNO, dengan kedudukan sebagai menteri sekarang dilantik oleh Mahiaddin, walau sebahagiannya tiada jawatan dalam hireaki UMNO, lebih berkemungkinan akan memusing keputusan kepada bekerjasama semula dengan Bersatu berbanding mengekalkan mandat PAU2020.

Mereka tidak mungkin mampu atau ada kekuatan jiwa untuk mengekalkan mandat PAU2020 lantaran nikmat jawatan dalam kerajaan yang dipegang sekarang adalah lantikan dan daripada budi Mahiaddin.

Selain dengan membawa UMNO bekerjasama dengan Bersatu dan terus menyokong Mahiaddin itu akan mengekalkan lagi jawatan menteri bagi pemimpin kluster menteri sedia ada, malah tidak mustahil pemimpin baru yang mengetuai UMNO akan segera dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagai gula-gula balasanya.

Tetapi, sedarkah masa depan UMNO akan terus berkubur jadinya selepas itu?

Dalam PRU15, kiranya Mahiaddin kekal lagi berkuasa dengan di belakangnya orang yang lebih disayangi oleh Presiden Bersatu itu ialah Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin, UMNO akan terus jadi tempelan atau “khadam” kepada Bersatu, kalau pun riwayatnya tidak dimatikan untuk digantikan dengan Bersatu dengan hujah kononnya ia lebih baik sebagai wadah baru bagi menaungi orang-orang Melayu.

Maka, kiranya Zahid Hamidi ingin menyelamatkan masa depan dan memelihara mandat PAU2020 yang disokong sepenuhnya oleh akar umbi parti, di samping memastikan pemburuan kejayaan tidak terencat, menangguhkan pemlihan merupakan tindakan paling terhormat mesti dilakukannya.

Sebagaimana sebelum ini pemilihan UMNO memang kerap ditangguhkan untuk mengelakkan perpecahan bagi menghadapi PRU, memastikan perpaduan dan hala tuju tidak dilencongkan menjelang PRU15 tentu saja jauh lebih penting dalam usaha merebut kembali kemenangan yang telah terlepas.

Kalau tidak, perpecahan yang teruk akan berlaku dan lebih menyukarkan untuk UMNO dan BN menang PRU15, lebih buruk daripada itu ia juga merisikokan UMNO jadi “for sale” kepada parti lain yang kecil, tiada akar umbi dan namanya pula lebih sinonim dengan ciri-ciri pengkhianatan berbanding perjuangan.


 (Shahbudindotcom 10/04/2021)





No comments: