Dr M tak bincang sebelum buat lantikan penting, kata Anwar

 

Anwar Ibrahim mendakwa Dr Mahathir Mohamad tidak dapat memahami perlunya pembaharuan institusi kerana beliau sebenarnya yang merosakkannya.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, berkata pembahagian jawatan penting Kabinet secara saksama dalam kalangan orang Melayu adalah cara untuk mengukuhkan keyakinan golongan berkenaan terhadap kerajaan.

Merujuk kepada kegagalan Pakatan Harapan (PH) berbuat demikian, beliau menyalahkan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad kerana tidak mengadakan perbincangan sewajarnya sebelum membuat pelantikan.

“Pelantikan yang penting dilakukan Mahathir ketika saya masih dalam penjara,” katanya ketika forum anjuran Majlis Profesor Negara hari ini.

Dalam konteks ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, penting untuk meyakinkan golongan majoriti Melayu bahawa mereka tidak akan diabaikan, walaupun itu yang kini dirasai kumpulan berkenaan sedangkan kerajaan pemerintah juga berbangsa Melayu.

“Ini bererti, harap-harap selepas kami (PH) memerintah, kita boleh berbincang semula untuk mewujudkan keadaan di mana kepentingan mereka dipelihara, seterusnya mengukuhkan keyakinan rakyat di seluruh negara.

“Ini juga bagi bukan Melayu. Ini bukannya satu permainan dengan hanya orang Melayu dibantu manakala masyarakat Cina diketepikan, atau membantu orang Cina tetapi membiarkan Melayu miskin, pendekatannya mesti adil dan saksama,” katanya.

Beliau mengulas soalan daripada moderator sama ada merancang menangani isu yang membimbangkan orang Melayu selepas kebanyakan pemimpin DAP dilantik ke jawatan penting ketika pentadbiran Mahathir.

Katanya, berdasarkan pengalamannya dengan DAP, ia berbeza daripada persepsi orang Melayu dan menambah parti itu sentiasa bersedia berunding dan berdepan realiti.

Berhubung kegagalan PH melaksanakan pembaharuan institusi seperti dijanjikan dalam manifestonya, Anwar berkata Mahathir tidak dapat memahami sepenuhnya keperluan untuk memperbaharui institusi kerana beliau sendiri yang sebenarnya merosakkannya.

“Antaranya melibatkan kebebasan kehakiman serta media, yang memang dikembalikan semula sedikit, namun sebenarnya beliau yang merosakkannya dulu,” katanya.

“Bagaimanapun, bukan beliau saja yang bersalah dalam hal ini walaupun beliau yang mengemudi kapalnya. Jelas beliau bertanggungjawab atas pelbagai perkara yang kini diamalkan.

“Namun bergantung juga kepada rakyat yang mengkhianati kepercayaannya. Kita tidak patut melupakan perkara itu,” katanya.

Menjawab soalan lain, Anwar menolak pandangan bahawa perancangannya menerima golongan yang melompat parti, bersamaan mewujudkan kerajaan pintu belakang.

Katanya, ini tidak timbul kerana beliau sekadar cuba mendapatkan semula mandat diberikan kepada PH oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.

“Dan apakah janji pilihan raya (ketika itu)? Ia supaya Mahathir menjadi perdana menteri sementara. Jadi di sini ia sebenarnya melibatkan mendapatkan semula mandat,” katanya.


No comments: