‘Tekanan dari atas’: Adun Paloh minta penjelasan menteri

 

Oleh Roketkini

Menteri Pendidikan diminta menjelaskan sama ada benar atau tidak, terdapat halangan dikenakan kepada pihak sekolah daripada membenarkan wakil rakyat di kawasan menjalankan tugas-tugas kebajikan.

Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, ini berikutan dakwaan wujudnya ‘tekanan dari atas’ terhadap sebuah sekolah di kawasannya daripada mengadakan program penyerahan sumbangan melibatkan beliau.

Sheikh Umar berkata, beliau juga meminta menteri menjelaskan dakwaan ‘tekanan dari atas’ berkenaan agar insiden tersebut tidak mendatangkan kekeliruan dan menular di kawasan-kawasan lain.

“Ia mesti diberikan perhatian serius. Wakil-wakil rakyat tidak wajar dihalang untuk berkhidmat kepada rakyat, apatah lagi saat sukar berhadapan ujian pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menceritakan insiden tersebut, Sheikh Umar memberitahu, beliau pada awalnya merancang untuk membuat serahan sumbangan kepada kira-kira 200 penerima melibatkan pelajar, guru-guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh 2 yang diuji baru-baru ini dengan wabak Covid-19.

Beliau menambah, barangan yang ingin diberikan merupakan sumbangan dari pejabatnya, pejabat Adun Mengkibol dan orang awam yang antaranya adalah beras, biskut dan pelitup muka.

“Malam tadi, saya telah menghubungi pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah untuk membuat serahan di SK Paloh 2 pada pagi ini.

“Namun sekitar jam 11.30 malam tadi juga, saya telah dihubungi oleh seorang individu yang identitinya enggan didedahkan, merayu agar program penyerahan tersebut dibatalkan serta merta,” katanya.

Jelasnya, individu tersebut mendakwa bahawa pihak sekolah menerima ‘tekanan dari atas’ sejak beliau melawat sekolah tersebut pada 5 April lalu ketika mengambil inisiatif menyediakan makanan kepada para pelajar serta kakitangan yang bertugas menjalankan ujian calitan Covid-19.

“Saya sekali lagi menghubungi pihak PIBG dan mereka mengesahkan maklumat terkini berkaitan pembatalan tersebut,,” katanya.

Untuk rekod, jelasnya, beliau hanyalah berhasrat membuat penyerahan sahaja bagi 200 barangan sumbangan itu kepada pihak sekolah. 

Selanjutnya, katanya, ia boleh disampaikan kepada setiap penerima melalui perantaraan pihak sekolah. Barangan sumbangan akan ditempatkan di sini.

“Saya tiada sebarang rancangan untuk membuat penyerahan kepada setiap daripada 200 individu penerima. 

“Ia diharapkan boleh diatur dengan lebih cermat oleh pihak sekolah memandangkan kawasannya yang lebih luas yang boleh melicinkan proses pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – Roketkini.com

No comments: