Duta Besar Malaysia bertemu junta: Menteri Luar perlu jelaskan

 

Oleh Majlis Setiausaha Pakatan Harapan

Majlis Setiausaha membaca laporan media berkenaan pertemuan Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Datuk Zahairi Baharim dengan Menteri Elektrik dan Tenaga Myanmar, Aung Than Oo pada 7 April 2021 di Naypyidaw.

Pertemuan ini menimbulkan beberapa persoalan berkait pendirian Malaysia terhadap junta Myanmar.

Umum sedia maklum bahawa kerajaan yang dipilih rakyat Myanmar secara sah telah diguling pihak tentera Myanmar atau Tatmadaw dalam satu kudeta pada 1 Februari 2021.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah menggesa tahanan politik termasuk Aung San Suu Kyi dibebaskan segera. Beliau juga telah menggesa agar satu sidang tergempar ASEAN diadakan untuk membincangkan keadaan di Myanmar selepas kudeta Tatmadaw pada 1 Februari 2021. Namun permintaan-permintaan ini belum dilaksana atau tercapai.

Pertemuan Duta Besar Malaysia dengan junta Myanmar, terutama tatkala pendirian Malaysia dalam isu tahanan politik dan sidang tergempar ASEAN tidak berubah, menimbulkan persepsi Malaysia mengiktiraf kerajaan tersebut. Ini tidak membantu usaha mengembalikan demokrasi di Myanmar.

Oleh itu, kami mendesak Menteri Luar Negeri untuk segera memberi penjelasan.

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 

Khalid Samad  Parti Amanah Negara (AMANAH) 

Liew Chin Tong
Parti Tindakan Demokratik (DAP) 





No comments: