PETALING JAYA: Memorandum yang ditandatangani oleh Ahli Parlimen yang menyokong persidangan semula Parlimen akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, kata pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Namun, tidak dinyatakan bila mereka akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Istana Negara atau berapa Ahli Parlimen yang akan menandatanganinya.
Dalam kenyataan berikutan perjumpaan pembangkang di Port Dickson, para pemimpin PH berkata mereka dipacu semangat perpaduan dan iltizam bagi meneruskan usaha reformasi serta menyatukan rakyat Malaysia, tanpa mengira status atau fahaman politik mereka.
“Kami menegaskan kesediaan untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan
Prinsip dan Agenda Reformasi demi kepentingan Rakyat, tanpa melibatkan kleptokrat,” katanya.
Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh presiden PKR dan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Agong sebelum ini menyatakan pandangan baginda bahawa Parlimen dapat bersidang walaupun keadaan darurat, pada tarikh yang dianggapnya sesuai berdasarkan rundingan dengan perdana menteri.
Selepas titah baginda pada bulan Februari itu, Menteri Undang-Undang De Facto Takiyuddin Hassan menyatakan bahawa Parlimen tidak akan berlangsung sehingga perintah darurat ditarik semula, yang dijadualkan pada bulan Ogos tahun ini.
Parlimen terakhir bersidang pada pertengahan Disember tahun lalu untuk meluluskan belanjawan 2021.